Isnin, 6 April 2015 | 8:07pm

BNBBC sokong kepimpinan Najib


Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) Tan Sri Shahrir Samad serta ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak di Bangunan Parlimen. - Foto ihsan laman sesawang BNBBC

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) memberikan sokongan padu kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dikritik oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Kelab Penyokong BN (BNBBC), Tan Sri Shahrir Samad berkata, Ahli Parlimen BN berdiri teguh di belakang Najib.

"Sebagai Ahli Parlimen, kami bersama-sama dengan Perdana Menteri," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Dr Mahathir yang mengkritik Najib menerusi laman blog beliau chedet.cc, berkata UMNO dan BN akan kalah jika Najib menerajui parti dan pentadbiran kerajaan dalam pilihan raya umum ke-14.

Shahrir berkata, BNBBC tidak bersetuju dengan kritikan terbuka oleh Dr Mahathir dan Najib akan menjawab kritikan itu apabila sampai masa beliau berbuat demikian.

Katanya, kritikan Dr Mahathir bukan hanya berkisar kepada soal pentadbiran, malah turut komen yang bersifat peribadi. - BERNAMA

Berita Harian X