Isnin, 6 April 2015 | 4:55pm
DATUK Khatijah Ibrahim dan Sahara Yaacob

Arwah Juwie pasti dirindui

KUALA LUMPUR: Tiada lagi madah cinta dan doa baik yang sering dipohon wartawan veteran Juwie atau nama sebenarnya Abdul Jalil Saleh kepada sesiapa yang ditemuinya. Beliau terlebih dahulu mengadap Ilahi pada Jumaat lalu kira-kira jam 10.30 malam akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuk kanser prostat.

Kehilangan insan kreatif ini benar-benar dirasai mereka yang membesar dengan penulisan pemberitaan serta nukilan lirik berunsur cinta lagu dendangan penyanyi seperti Datuk Jamal Abdillah, Ramlah Ram, Siti Fairuz, Nassier Wahab, Shidee, kumpulan Gersang, Spring dan May.

Pengerusi Media Prima Bhd, Tan Sri Johan Jaaffar yang hadir menziarahi jenazah Allahyarham pagi Sabtu lalu sebelum pengebumian diadakan turut berkongsi memori manis mengenali Juwie atau nama glamornya Mama Juwie.

Juwie memulakan kerjayanya sebagai wartawan di akhbar Berita Harian pada tahun 1974 dan Johan mengenali arwah ketika bertugas di Utusan Malaysia sekitar tahun 1992 ketika Juwie mengendalikan ruangan pojok hiburan iaitu Auw! Juwie menerusi sisipan Pancaindera, Mingguan Malaysia.

"Arwah ketika itu memang cukup terkenal sebagai salah seorang wartawan hiburan. Arwah dikenali kerana mempunyai hubungan baik dengan teman artis dan seniman. Arwah antara yang selalu mendapat berita eksklusif untuk kolumnya itu.

"Malah ketika tercetusnya idea untuk wujud majalah Mangga, nama arwah yang terdetik di hati saya untuk menerajui. Peluang yang diberikan kepadanya ternyata dimanfaatkan sebaik mungkin hingga Mangga dikenali ramai termasuk mendapat edaran tertinggi mencecah 300,000.

"Arwah memang petugas yang penuh dedikasi dan disiplin. Pendek kata Mangga umpama majalah Juwie sendiri. Ia tak dapat dipisahkan. Saya optimis dengan keupayaan arwah dan di bawah kendaliannya Mangga laris suatu ketika dulu," katanya kepada BH.

Secara peribadi, Johan menyifatkan Allahyarham sebagai seorang insan yang banyak memberi motivasi kepada pekerja di bawahnya. Menerusi majalah Mangga sendiri, arwah bukan sahaja menyiarkan cerita hiburan tetapi diseimbangkan dengan cerita yang mempunyai mesej dan nasihat.

"Arwah juga beberapa kali ke Tanah Suci Makkah untuk mengerjakan umrah. Jelas arwah bukan sahaja mendidik pembacanya untuk berdepan dunia masa kini yang dihadapi tetapi diimbangi dengan aspek kerohanian serta keagamaan.

"Arwah juga seorang pekerja yang menghormati majikannya. Arwah sangat menghargai persahabatan yang dijalinkan. Biarpun sudah lama tak bersua muka, kami sering berhubungan di telefon bimbit.

"Biarpun sudah bersara, saya menawarkan peluang kepadanya untuk mengendalikan segmen sebagai penulis tamu di akhbar Berita Harian setiap hari Sabtu. Semangatnya terhadap dunia penulisan cukup tebal hinggalah dia berdepan dengan pelbagai penyakit," kata Johan.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selayang Baru kira kira jam 10.30 pagi Sabtu lalu. Jenazah sebelum itu disembahyangkan di surau Al Tarbiah Darul Falah berdekatan dengan rumah kakak sulung Allahyarham di Selayang Baru.

Bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu dan bekas Menteri Penerangan Malaysia, Tan Sri Zainuddin bin Maidin pula lebih mengingati Allahyarham sebagai penulis lirik yang amat menyentuh perasaan berbanding sebagai wartawan.

"Walaupun sikapnya yang dilihat jenis yang tak rapat dengan ramai orang, arwah sebenarnya dekat di hati semua orang terutama menerusi penulisan liriknya yang cukup puitis dan syahdu. Arwah seakan mampu menyelami perasaan dan jiwa lelaki dan perempuan pada satu masa.

"Lirik lagu dendangan Siti Fairuz Bila Rindu Ku Sebut Namamu nukilan arwah sampai sekarang cukup menangkap perasaan saya. Bukan kerana suara Siti Fairuz semata mata, seni kata lagu berkenaan mengungkap perasaan orang dalam kerinduan. Saya sendiri dapat merasainya," katanya.

Turut memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham ialah Datuk Khatijah Ibrahim, Datuk A Samad Said, Datuk Shah Reza, Edika Yusof, Datuk Ahmad Nawab, Erra Fazira, Sahara Yaacob, Umie Aida, Ziela Jalil dan Zack Cool.

Datuk Khatijah yang ditemui menyifatkan Allahyarham sebagai seorang wartawan dan sahabat yang sangat baik.

"Sekitar 40 tahun lalu, arwahlah yang menjadi wartawan pertama yang memberikan liputan mengenai album sulung saya. Arwah juga umpama pakcik dan saudara saya. Sepanjang hayatnya saya sempat menunaikan impian arwah sekitar sebulan lalu untuk menganjurkan majlis doa selamat di restoran saya di setapak.

"Saya juga tidak diizinkan arwah untuk melawatnya di hospital dan saya mematuhinya. Cuma terbit rasa ralat kerana sepatutnya Jumaat lalu saya melawat arwah di hospital tetapi kerja saya lambat habis. Tiada rezeki saya bertemunya dan hanya dimaklumkan dengan berita pemergian arwah," katanya.

Allahyarham disifatkan Khatijah sebagai seorang legenda yang kehilangannya amat dirasai.

"Lihatlah berapa artikel dan lirik yang ditulis Allahyarham. Allahyarham antara individu yang banyak menaikkan nama artis tanah air," katanya.

Sementara itu, Sahara turut berkongsi pengalaman beliau sepanjang mengenali Allahyarham.

"Allahyarham menjadi pemberita pertama dan terakhir yang pernah datang kepada saya dan menyerahkan RM300. Allahyarham berkata kepada saya dia baharu sahaja dapat rezeki lebih dan ingin bersedekah serta berkongsi kenikmatan itu.

"Kebetulan ketika itu, arwah seakan tahu saya mempunyai masalah ekonomi. Arwah juga yang sanggup datang melawat saya yang sakit di rumah dan membawa buah tangan. Mak saya sakit pun arwah sanggup menemani di hospital.

"Arwah memang ikhlas dan banyak pengetahuan dalam Islam. Arwah memang kawan yang baik dan kami saling menyayangi di antara satu sama lain. Saya sudah 40 tahun mengenalinya," katanya.

INFO Mama Juwie

* Allahyarham meninggal dunia di Pusat Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras. Allahyarham dimasukkan ke situ pertengahan Mac lalu untuk menjalani rawatan penyakit dihadapi sebelum dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) apabila kesihatannya tidak stabil.

* Mempunyai lapan adik beradik.

* Antara lirik lagu nukilan beliau ialah Cintaku Hanyut Di Lautan Sepi (Ramlah Ram) Bila Rindu Ku Sebut Namamu (Siti Fairuz), Sampai Hati (Spring), Andainya Aku Pergi Dulu (Alleycats), Masih Aku Terasa (Gersang) dan Meraung (New Boyz) dan Kad Ucapan (Norsheila Amin).

* Pernah menjuarai Juara Lagu pada tahun 1988 bersama komposer terkenal Datuk Ahmad Nawab menerusi lagu Kau Kunci Cintaku Di Dalam Hatimu nyanyian Ramlah Ram.

* Pernah menghasilkan novel iaitu Sampai Hati.

Berita Harian X