Jumaat, 5 September 2014 | 6:14am
Pekebun kecil getah harus meningkatkan kualiti getah asli untuk bersaing dengan getah asli negara luar.

LGM hasil inovasi tingkat pengeluaran getah asli

Malaysia menghadapi penurunan dalam pengeluaran getah asli dunia. Dari tahun 1990 hingga 2013, Malaysia mengeluarkan hanya antara 825,000 tan hingga 1.3 juta tan getah asli setahun.

Ia tidak memungkinkan Malaysia menyaingi pengeluaran getah Thailand, Indonesia, Vietnam dan Kemboja berikutan faktor kekangan kawasan penanaman baharu getah. Justeru, Malaysia hanya mampu mengekalkan kedudukan sebagai pengeksport getah asli keenam terbesar dunia.

Dengan keluasan penanaman hanya 1.06 juta hektar sekarang, Malaysia tidak mampu menyaingi keluasan tanaman getah di ketiga-tiga negara terbabit. Faktor ini ditambah dengan kehilangan semakin banyak ladang getah yang diubah menjadi kawasan pembangunan hartanah atau ladang sawit yang membawa pulangan lebih stabil dan berterusan.

Saban tahun, ada saja ladang getah yang diubah menjadi ladang sawit, kawasan perumahan atau bangunan komersial, sekali gus menyebabkan pengeluaran getah asli negara semakin menyusut.

Bagaimanapun, di bawah Bidang Keberhasilan Ekonomi Utama Negara (NKEA), Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi melaksanakan Program Tanaman Baharu dan Tanam Semula Getah Pekebun Kecil dengan meletakkan sasaran meningkatkan keluasan tanaman getah kepada 1.2 juta hektar dengan pengeluaran dua juta tan setahun menjelang tahun 2020.

Kementerian itu menyediakan RM744 juta bagi melaksanakan kedua-dua program berkenaan dengan sasaran tanaman baharu seluas 38,770 hektar dan tanam semula seluas 113,900 hektar.

Pengeluar sarung tangan terbesar dunia

Meskipun tidak mampu bersaing dari aspek pengeluaran dengan negara terbabit, Malaysia masih mempunyai kelebihan dari aspek industri hiliran berasaskan getah yang menyaksikan negara ini kekal sebagai pengeluar sarung tangan terbesar dunia.

Tahun lalu saja negara mengeksport produk berasaskan getah bernilai RM14.62 bilion, iaitu 43.33 peratus daripada keseluruhan eksport industri getah dunia yang bernilai RM33.73 bilion.

Bagi Lembaga Getah Malaysia (LGM), usaha berkenaan tidak akan berjaya tanpa langkah membantu meningkatkan pendapatan 400,000 pekebun kecil getah kerana mereka menghasilkan 93 peratus daripada pengeluaran getah negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Salmiah Ahmad menjelaskan, bagi membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil, LGM akan mengkomersialkan beberapa teknologi seperti mesin menyemai benih getah (SoFIL), mesin untuk bahan tanaman (PMac) dan kenderaan memungut lateks (LCV).

"Inovasi itu akan meningkatkan tahap mekanisasi dalam operasi di ladang dan mengurangkan kebergantungan tenaga buruh," katanya.

Selain itu, LGM memperkenalkan i-Klon dan Sistem Maklumat dan Pengesanan Klon Getah (RITes) yang bakal meningkatkan produktiviti pekebun kecil dan estet melalui pemilihan klon yang betul.

Sistem Penorehan Getah Automatik

Turut diperkenalkan ialah Sistem Penorehan Getah Automatik (ARTs) bagi mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing, meningkatkan kekerapan torehan dan menambah pengeluaran susu getah kepada dua tan sehektar.

"LGM juga menubuhkan Pusat Ranting Tunas Hijau Malaysia (MRBC) untuk memastikan hanya getah yang disyorkan ditanam oleh pekebun kecil," katanya.

ARTs adalah mesin torehan automatik menggunakan mata pemotong berputar berkelajuan tinggi yang mampu menghasilkan torehan tepat dan sekata.

Ia direka dengan sistem kawalan elektronik untuk mengawal mesin operasi mesin tanpa memerlukan kawalan secara manual. Ia dipasang pada pokok dan mampu menoreh secara automatik mengikut waktu yang diprogramkan.

ARTs membolehkan torehan dilakukan pada awal pagi ketika tekanan lateks dalam pokok berada pada tahap tinggi. Ia menghasilkan pemotongan sepanjang 2.5 sentimeter (sm) dan pembuangan kulit pokok setebal 2.3 milimeter (mm) sehari.

Dengan direka bentuk bergerak pada arah menegak dan mengufuk, ia membolehkan mata pemotong mirip kepada turutan torehan secara manual. Selain itu, ia beroperasi secara serentak mengikut masa diprogramkan.

Bagaimanapun, ARTs belum mampu diaplikasi secara menyeluruh kepada pekebun kecil berikutan kos yang terlalu tinggi. Sehubungan itu, LGM masih meneruskan kajian bagi meminimumkan kos bagi memastikan ia tidak membebankan pekebun kecil.

Sejajar dengan fungsinya sebagai pemangkin kemajuan industri getah negara, LGM bertanggungjawab melaksanakan dan memantau semua projek di bawah industri getah. Sehubungan itu, LGM melaksanakan empat projek permulaan (EPP) di bawah NKEA.

EPP-1 membabitkan usaha meningkatkan Purata Produktiviti Getah Nasional kepada 2,000 kilogram (kg) sehektar pada tahun 2020. EPP-2 bertujuan memastikan kemampuan industri huluan getah; EPP-3 meningkatkan perkongsian pasaran sarung tangan getah dunia kepada 65 peratus pada tahun 2020 dan EPP-4 mengkomersilkan produk getah yang mesra alam.

Semua EPP terbabit bakal meningkatkan sumbangan industri getah kepada pendapatan negara daripada RM18.5 bilion pada tahun 2009 kepada RM52.9 bilion menjelang tahun 2020.

Permintaan getah asli di pasaran menurun

Berdasarkan kelembapan dalam industri getah dunia akibat kekurangan permintaan daripada pengguna utama getah asli dunia seperti China, Jepun dan Eropah, permintaan terhadap getah asli di pasaran turut menurun.

Bagaimanapun, Malaysia, Thailand dan Indonesia yang menganggotai Tripartite Rubber Council (ITRC) sedang membincangkan langkah berkesan bagi memperkukuh harga getah di pasaran.

Rumusannya, walaupun Malaysia ketinggalan dari aspek pengeluaran getah asli dunia berbanding Thailand, Indonesia dan Vietnam, negara masih mampu berbangga dengan fungsinya sebagai pengeluar sarung tangan getah asli utama dunia.

Pelbagai usaha yang dijalankan bagi memajukan pekebun kecil dan industri getah akan diperkukuh melalui langkah LGM melancarkan '1 Nation Rubber Strategy' atau Strategi Getah 1 Negara (1NRS) tidak lama lagi.

Namun, hambatan kemajuan menyaksikan semakin banyak kebun kecil dan estet dibangunkan dengan penanaman sawit dan hartanah yang semakin membawa negara ke arah belakang berbanding negara pengeluar getah asli dunia yang lain.

Faktor ketiadaan syarikat pembuatan tayar tempatan menyebabkan syarikat pembuatan tayar antarabangsa yang melabur di negara ini mengawal permintaan getah asli, terutama Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 mengikut kehendak dan keperluan mereka.

Faktor kejatuhan harga getah beku semasa antara RM2 hingga RM2.20 menyebabkan semakin ramai pekebun kecil terpaksa 'menggantung' pisau torehan dan mencari kaedah lain untuk mencari rezeki.

Kualiti rendah jejas permintaan

Pekebun kecil getah harus meningkatkan kualiti getah asli untuk bersaing dengan getah asli dikeluarkan Thailand, Indonesia dan Vietnam. Getah asli berkualiti rendah kurang mendapat permintaan syarikat pengeluar tayar antarabangsa.

Pegawai Lembaga Getah Malaysia (LGM) pernah bertemu wakil syarikat pengeluar tayar di Singapura bagi mendapatkan maklum balas mereka mengenai kualiti getah Malaysia. Pengeluar terbabit menjelaskan getah asli Malaysia kurang berkualiti berbanding getah dikeluarkan Vietnam dan Kemboja.

Kurang ambil berat penjagaan kualiti

Ketua Pengarah LGM, Datuk Dr Salmiah Ahmad, menjelaskan syarikat berkenaan lebih cenderung mengimport bahan mentah daripada pelbagai negara, selain Standard Vietnam Rubber (SVR) untuk diproses menjadi getah yang sesuai untuk dibuat tayar.

Kebanyakan pekebun kecil di negara ini kurang mengambil berat aspek penjagaan kualiti. Contohnya, ada pekebun kecil sanggup mengikat tali pada batang pokok yang ditoreh pada tempat yang tinggi untuk membolehkan susu getah mengalir masuk ke dalam mangkuk.

Akibatnya, tali itu turut termasuk ke dalam mangkuk berkenaan. Apabila susu getah membeku, tali masih berada di dalamnya dan kilang pemprosesan getah tidak mampu mengasingkan tali daripada getah seratus peratus.

Selain kualiti getah asli yang agak rendah, industri getah juga dipengaruhi permintaan di pasaran antarabangsa. Keadaan semasa menyaksikan industri pembuatan tayar di China berada pada tahap kurang memberangsangkan.

Hal itu berbeza dengan keadaan ketika industri pembuatan tayar di China mencapai kemuncaknya pada tahun 2010 dan 2011. Ia menyebabkan Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 dijual ke China pada harga RM71 sekilogram (kg).

Tak boleh bergantung harap kepada industri tempatan

"Ketika itu, Kerajaan Republik China menggalakkan rakyatnya menggunakan kereta baharu dan kereta lama tidak digalakkan berada di atas jalan raya. China juga mengeksport 30 peratus daripada tayarnya ke Eropah, tetapi situasi itu merudum menjelang Februari 2012 hingga sekarang," katanya.

Industri getah Malaysia tidak boleh bergantung harapan kepada industri pembuatan tayar tempatan kerana syarikat pengeluar tayar sedia ada dimiliki oleh pelabur asing yang lebih mementingkan pembelian bahan mentah dari luar negara untuk diproses bersama getah asli di negara ini, selain negara lain di Asia Tenggara.

Sehubungan itu, pekebun kecil getah di negara ini harus meningkatkan kualiti getah, selain berharap permintaan di pasaran antarabangsa kembali pulih.

INFO:Pokok Getah

  • Subur di kawasan 1,000 km utara dengan 1,000 km selatan Khatulistiwa

  • Memerlukan hujan antara 180 sm hingga 250 sm setahun

  • 2.06 juta hektar estet dan kebun kecil getah di Malaysia pada tahun 1979

  • 1.66 juta tan - pengeluaran tertinggi pada tahun 1988.

    Eksport Getah Malaysia

  • 63 peratus ke China

  • 15 peratus ke Kesatuan Eropah

  • 3 peratus ke Amerika Syarikat
  • 314 dibaca
    Berita Harian X