Rabu, 1 April 2015 | 12:57pm

Kecoh hingga hampir bergaduh di DUN Perak


MENTERI Besar Perak merangkap ADUN Pangkor, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menjawab soalan pada Sidang DUN ke 13 di Bangunan Perak Darul Ridzuan. - Foto Muhaizan Yahya.

IPOH: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini kecoh apabila pertikaman lidah pada sesi perbahasan hampir mencetuskan pergaduhan.

Ia bermula apabila Yong Choo Kiong (DAP-Tronoh) mempersoalkan tindakan pihak kerajaan mengkritik tindakan pembangkang berpakaian hitam ketika istiadat pembukaan sidang DUN Perak semalam.

Persoalan itu dilemparkan ketika mencelah sewaktu Datuk Khusairi Talib (BN-Slim) membahaskan usul menjunjung kasih terhadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

Khusairi dalam ucapannya menyatakan tindakan berpakaian hitam ketika istiadat perasmian adalah perbuatan kurang ajar kerana jelas dalam surat jemputan meminta ahli dewan memakai pakaian rasmi nombor satu, tambahan pula ia adalah acara rasmi pertama di DUN Perak selepas Sultan Nazrin dimasyhurkan sebagai Sultan Perak.

Choo Kiong kemudian mencelah menyatakan tiada dalam Perintah Tetap mengenai cara berpakaian sambil menyindir hari ini ramai ahli dewan yang memakai jaket hitam dan bertanya berkabung untuk siapa yang mati.

Tindakan itu membangkitkan kemarahan Datuk Shahrul Zaman Yahya (BN-Rungkup) dan meminta Choo Kiong bertemunya di luar dewan dan ditenteramkan oleh Khusairi.

Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Sitiawan) kemudian menyatakan sesuatu ketika mikrofonnya ditutup sehingga membangkitkan kemarahan ramai penyokong kerajaan termasuk Shahrul Zaman yang bertindak keluar dewan sebaik melihat Koo Ham keluar dewan.

Ia mengakibatkan ramai anggota keselamatan turut mengekori kedua-duanya, menyangka akan berlaku pergaduhan, bagaimanapun ia tidak berlaku apabila dua ahli dewan itu pergi ke haluan masing-masing.

Berita Harian X