Rabu, 1 April 2015 | 12:05am
PENDAKWAH bebas, Datuk Kazim Elias ketika menyampaikan ceramah di padang Sekolah Kebangsaan Serkam Darat, Jasin. - Foto Amir Mamat

Ustaz Kazim pernah disihir


PENCERAMAH dan pendakwah bebas, Datuk Kazim Elias. - Foto Yahya Zainuddin.

MESKIPUN beberapa kali disantau, disihir, diugut dan terlantar sakit, kesusahan itu sedikit pun tidak menghalang atau melemahkan semangat penceramah dan pendakwah bebas, Datuk Muhammad Kazim Elias, 42, yang lebih popular dengan panggilan Ustaz Kazim meluaskan usaha dakwah.

Malah pengalaman yang pelbagai itu, termasuk yang agak keterlaluan iaitu diugut untuk disimbah asid dan keselamatan keluarga diancam oleh pihak yang memusuhi dan tidak senang dengan pendekatan sama rata digunakan beliau dalam mengembangkan usaha dakwah tanpa memilih ideologi politik, menguatkan lagi keazamannya untuk melakukan tugasnya.

Pendekatannya yang banyak memuji pelbagai usaha baik yang dilakukan kerajaan turut mendapat reaksi kurang menyenangkan beberapa pihak, malah ada yang sanggup menggelar dan memfitnah Pengetua Pusat Pendidikan Islam Al-Barakah itu sebagai `Ustaz Politik', `Ustaz Freemason' dan `Ustaz Sampul'.


MUFTI Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (kanan) bersalam dengan penceramah bebas Datuk Kazim Elias di Kangar, Perlis.

Pada Mei dua tahun lalu, beliau turut menerima ugutan bunuh, dipukul atau dicederakan sehingga mengakibatkan beliau membuat keputusan untuk bersara daripada berceramah dan mahu menumpukan sepenuhnya perhatian kepada Pusat Pendidikan Al-Barakah di bawah seliaannya.

"Memang sebelum ini saya memutuskan untuk bersara daripada menjadi penceramah bebas kerana menerima pelbagai ugutan, rumah saya dibaling botol yang dipenuhi dengan air kencing dan asid, menerima pelbagai cemuhan dan pelbagai ugutan.

"Bagaimanapun, selepas mempertimbangkan dan mendengar nasihat daripada pelbagai pihak, saya membuat keputusan hanya untuk mengurangkan aktiviti ceramah dan menetapkan masa ceramah pada hujung minggu saja dengan keutamaan masih lagi kepada Pusat Pendidikan Islam Al-Barakah," katanya.

Ustaz Kazim turut memuatkan segala pengalaman pahit manis dan payah jerih bergelar pendakwah bebas melalui penerbitan sebuah buku Hidupku...Sebuah Autobiografi yang menceritakan pembabitan awal beliau dalam bidang dakwah dan sejarah hidup ringkas yang diceritakan secara bersahaja.


DATUK Kazim Elias pada sidang media di Pusat Pendidikan Al Barakah di Manjoi ketika menjawab isu Mufti Perlis, Datuk Dr Asri Zainul Abidin terhadapnya. - Foto Yahya Zainuddin.

"Bukan semua pengalaman itu indah. Saya juga tidak terlepas daripada ditimpa musibah dan dilanda badai kehidupan. Saya juga pernah jatuh sakit, ditimpa kemalangan, dihimpit kesusahan baik dari segi kewangan, kesedihan atau pun kesihatan.

"Ia banyak membentuk jati diri saya dan mengubah kehidupan saya kepada yang lebih baik. Datangnya ujian itu adalah dalam pelbagai bentuk dan ia silih berganti," katanya. Bukunya disempurnakan pelancarannya oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zamry Abdul Kadir di Ipoh tahun lalu.

Ustaz Kazim berkata, matlamat utama penerbitan buku yang mengandungi kisah hidupnya itu adalah bagi mengumpul dana pembinaan asrama dan pembinaan surau Maahad Tahfiz Lilbanat (Perempuan) yang sedang didirikan.


PENCERAMAH bebas, Datuk Kazim Elias ketika ditemuramah oleh wartawan di Program Ceramah Perdana, Jenayah Penyebab dan Cara menanganinya mengikut Perspektif Islam. - Foto Mohd Shukor Mohd Amin

Katanya, buku itu mengisahkan rentetan pelbagai kisah dan pengalaman hidupnya sejak dari kecil hingga kini, selain turut memuatkan panduan bagaimana ikhtiar yang boleh digunakan untuk merawat dan melawan sihir atau ilmu hitam berpandukan pengalaman yang dialami beberapa kali sekitar tahun 1997 hingga 1997 dan pada tahun 2001 hingga 2003.

"Dalam buku ini, saya menceritakan bagaimana saya disantau dan disihir hanya kerana berdakwah hingga muntah darah dan terlantar sakit, namun akhirnya saya berjaya bangkit semula dengan izin Allah SWT.

"Apapun melalui pengalaman itu saya dapat belajar banyak perkara daripada ujian ini, antaranya saya belajar ilmu perubatan Islam, kenal siapa kawan siapa lawan dan tahu siapa kawan ketika susah dan senang," katanya.

Disifatkan sebagai seorang yang cukup pandai berjenaka dan menyampaikan ceramah dengan gaya bersahaja, ceramah beliau sentiasa penuh dihadiri pelbagai lapisan masyarakat tua dan muda, malah sering mendapat undangan bukan saja di sekitar Perak malah di seluruh negara terutama Kuala Lumpur.

"Paling seronok adalah ketika berjumpa peminat dan mereka suka dengan cara penyampaian saya yang santai. Ramai yang kata mereka mula tertarik dengan ceramah agama yang sebegini kerana ia senang diterima dan mudah difahami.

"Lebih menyeronokkan lagi ada yang datang berjumpa saya menyatakan mereka sudah berubah dan mula mencari keredaan dalam hidup selepas mendengar ceramah saya. Saya kata bukan saya punya ceramah yang membuatkan dia berubah tetapi diri individu itu sendiri dan Allah yang membuka pintu hati pada orang yang dikehendaki-Nya," katanya.

Tidak hanya popular melalui laman YouTube melalui pelbagai koleksi ceramah yang dirakam di seluruh negara, Ustaz Kazim turut popular melalui laman Facebook yang mempunyai ratusan ribu peminat bukan saja daripada kalangan umat Islam dan orang Melayu tetapi pelbagai kaum dan agama.

"Ada orang tanya saya, Ustaz bawa apa dalam beg setiap kali pergi berceramah, lalu saya teringat ketika mula-mula pergi ceramah 20 tahun dulu mesti bawa al-Quran kecil, mini sejadah, berus gigi, sikat, minyak wangi, persalinan baju dan paling penting air minuman.

"Sekarang dah tak bawa sejadah, bukan pasal saya tak sembahyang tetapi Alhamdulillah zaman sekarang sudah banyak surau dan masjid yang boleh saya singgah untuk tunaikan solat.

"Satu lagi barang yang saya sudah `upgrade' dalam keperluan seiring teknologi adalah iPad...yang itu saya tidak pernah tinggal, sebab selain menjawab soalan peminat, saya juga boleh mengemaskinikan status saya dalam Facebook. Seronok juga berbalas mesej dan bertukar pendapat dengan peminat," katanya.

106 dibaca
Berita Harian X