Selasa, 31 March 2015 | 12:30pm

Empat sekeluarga maut nahas di Jalan Kuantan-Segamat


EMPAT sekeluarga maut apabila Proton Waja yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori dalam kemalangan di Kilometer 138 Jalan Kuantan-Segamat. - Foto ihsan PDRM

ROMPIN: Empat sekeluarga maut apabila kereta mereka bertembung dengan sebuah lori dalam kemalangan di Kilometer 138 Jalan Kuantan-Segamat, pagi tadi.

Nahas kira-kira jam 5.30 pagi tadi itu menyebabkan mangsa, Rohaizan Paimon, 38, isteri mangsa, Sallyza Hakim Lokma Nulhakim 32, dan dua anak pasangan terbabit, Nur Allysha Adrieanna Hakim, 6, dan Muhammad Nur Orfan Danish, 4, meninggal dunia di tempat kejadian.

Semua mangsa berasal dari Perumahan Kampung Karang Darat, Kuantan.

Pemangku Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman, berkata nahas berlaku ketika mangsa yang menaiki Proton Waja dalam perjalanan dari arah Segamat menuju ke Kuantan.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, Rohaizan yang memandu kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

"Akibat kejadian itu mangsa bertembung dengan sebuah lori menyebabkan mereka meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi, di sini.

Beliau berkata, mayat empat beranak itu dihantar ke Hospital Muadzam Shah, dekat sini untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga bagi urusan pengebumian.

78 dibaca
Berita Harian X