Isnin, 30 March 2015 | 1:12pm

TMJ ketuai senarai 83 penerima anugerah Sultan Johor


TUNKU Ismail Ibrahim (tengah) bersama isteri, Che' Puan Khaleeda Bustamam, Tunku Aris Bendahara Johor, Tunku Abdul Majid Idris (dua dari kiri), Tunku Tun Aminah dan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menanti ketibaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah pada Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor di Istana Besar, Johor Bahru, minggu lalu. - Foto AizuddinSaad

JOHOR BAHRU: Seramai 83 individu dikurniakan darjah dan pingat kebesaran sempena Kemahkotaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pada majlis istiadat yang berlangsung di Istana Besar, sebentar tadi.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim bersama lima adindanya iaitu Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris; Tunku Tun Aminah; Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar menerima Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama Dato Sri Mulia Sultan Ibrahim Johor (SMIJ).

Turut menerima darjah SMIJ ialah bonda Sultan Johor, Enche Besar Hajjah Khalsom Abdullah; Menteri Besar Johor, Datuk Mohamed Khaled Nordin dan Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli.

Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Kedua Dato Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) yang membawa gelaran datuk kepada Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Ismail Karim dan Pegawai Kewangan Johor, Marsan Kassim.

Tiga penerima Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Ketiga Setia Mulia Sultan Ibrahim Johor (DIJ) diberikan kepada Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Latiff Yusof; Ahli Penasihat Jumaah Majlis Diraja Johor, Brig Jen (B) Datuk Ali Musa dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), Amran A Rahman. Seramai 69 lagi menerima Pingat Sultan Ibrahim Pangkat Kedua (PSI II).

Berita Harian X