Sabtu, 28 March 2015 | 2:47pm

Akram, Che Rashid kekal dalam perancangan Dollah

PUCHONG: Dua pemain muda skuad Liga Perdana Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Akram Mahinan dan Che Rashid Che Halim akan terus kekal dalam perancangan skuad Harimau Malaya selepas pengendali kebangsaan, Dollah Salleh berpuas hati dengan penampilan sulung mereka ketika bertemu Oman, Khamis lalu.

Akram, 22, yang beraksi di posisi tengah bergandingan dengan kapten, Safiq Rahim sepanjang 45 minit separuh masa pertama manakala Che Rashid, 21, dimasukkan pada 30 minit terakhir permainan untuk mengisi posisi pertahanan kanan.

"Untuk perlawanan bertemu Oman, saya hanya dapat mencuba dua pemain muda iaitu Akram dan Che Rashid. Kedua-dua mereka tidak menghampakan saya dan masih boleh diketengahkan lagi.

"Saya percaya, dua pemain ini mungkin akan kekal dalam skuad kebangsaan," kata Dollah ketika ditemui selepas melancarkan buku Teknik Awalan Bola Sepak tulisan Ridzuan Abu Shah di Sekolah Kebangsaan Putra Perdana 2, di sini, pagi tadi.


AKSI Akram Mahinan (kanan) yang mengasak pemain Oman, Eid Al-Farsi pada perlawanan persahabatan di Stadium Seeb, Muscat, kelmarin. - Foto AFP

Pada aksi di Stadium Seeb, Muscat yang menyaksikan skuad kebangsaan dibelasah 6-0 oleh pasukan ranking ke-96 dunia itu, Dollah meletakkan hanya dua pemain bukan dari skuad naib juara Piala Suzuki AFF 2014 dalam kesebelasan utamanya iaitu Akram dan Wan Zack Haikal Wan Nor.

Pada separuh masa kedua, Dollah melakukan enam pertukaran dengan memasukkan Khairul Azhan Khalid, Baddrol Bakhtiar, Joseph Kalang Tie, Che Rashid, Afif Amiruddin dan Abdul Manaf Mamat.

Hanya tiga pemain daripada 20 pemain yang dibawa tidak beraksi iaitu Ahmad Hazwan Bakri (Selangor), Ahmad Syamim Yahya (FELDA United) dan R Gopinathan (Pahang).

"Untuk pemilihan pemain bagi kem latihan seterusnya selepas ini, saya masih akan pergi ke negeri-negeri untuk menyaksikan perlawanan Liga Super dan Liga Perdana. Saya masih mahu lagi melihat pemain-pemain yang berpotensi untuk dipanggil," jelas Dollah.

Saingan Liga Super akan bersambung 4 April ini sehingga 2 Mei untuk perlawanan keenam hingga ke-10 sebelum berehat selama sebulan sehingga 2 Jun ini untuk persiapan skuad kebangsaan menghadapi Tottenham pada 27 Mei dan skuad B-23 negara kendalian Datuk Ong Kim Swee menghadapi Sukan SEA.

Namun aksi separuh akhir dan final Piala FA tetap akan berlangsung sepanjang Mei ini.

70 dibaca
Berita Harian X