Sabtu, 28 March 2015 | 12:06am
Izreen menafikan dia ada hubungan dengan Fahrin tetapi sekadar kawan seperjuangan.
Umur, status, kedudukan dan ekonomi Fahrin menjadi daya tarikan.

Fahrin Ahmad-Izreen Azminda diamuk cinta?

KUALA LUMPUR: Pernah digosipkan bercinta dengan Amar Baharin dan Hafreez Adam, terbaharu timbul cerita Izreen Azminda sedang menjalin cinta lokasi pula dengan aktor Fahrin Ahmad.

Izreen dan Fahrin ketika ini sedang sibuk menyiapkan penggambaran drama Eksperimen Cinta.

Drama 20 episod itu untuk slot Dahlia TV3 dan diterbitkan Zeel Production dijangka bersiaran pada Mei depan.


Izreen mengakui senang berkawan dan berkongsi bakat dengan Fahrin. - Foto ihsan Instagram Izreen

Kepada BH Online, ibu tunggal kepada Adrian Umar itu diaju dengan persoalan adakah benar wujud hubungan istimewa antaranya dengan Fahrin.

"Tak adalah. Mana ada bercinta. Sekadar kawan seperjuangan. Dia rakan kerja dan pelakon senior yang bagus. Memang kawan sahajalah," kata Izreen yang memberitahu penggambaran drama berkenaan bermula sejak Februari lalu dan dijangka berakhir hujung April ini.

Izreen bagaimanapun mengakui senang berkawan dan berkongsi bakat dengan Fahrin.

Kata Izreen lagi, Fahrin seorang pelakon yang sangat membantunya dan menyokong antara satu sama lain.

"Dia memang kawan yang baik. Saya yakin dia memang idaman ramai wanita di luar sana. Dengan umur, status, kedudukan dan ekonominya, pasti ramai yang mendambakan cinta kepadanya.

"Sebagai kawan, saya mendoakan kebahagiaan untuk dia agar cepat bertemu jodoh. Insya-Allah," kata Izreen yang juga hos Mahligai Cinta di TV3.

Izreen pernah berkahwin dengan Muhammad Riza Baharuddin pada 31 Ogos 2012 di Alor Setar, Kedah dan mereka dikurniakan Umar yang lahir pada 13 Julai 2013.

Bagaimanapun jodoh mereka berakhir pada 9 tahun Jun lalu selepas Riza memfailkan tuntutan cerai pada 14 Mei tahun yang sama.

Kebelakangan ini, Izreen memang 'hot' dan menjadi buah mulut peminatnya apabila dikaitkan dengan beberapa pelakon muda dan kacak termasuk dengan Amar Baharin dan Nazrief Nazri.

Cinta Izreen Azminda dan Johan As'ari pernah mencetuskan sensasi kerana insiden putus cinta mereka suatu ketika dulu turut menggemparkan industri hiburan apabila takdir untuk mereka hidup bersama bernoktah saat itu.

Malah, baru-baru ini pelakon cantik ini telah memuat naik gambarnya sedang menyandarkan kepala ke lengan seorang jejaka yang tidak dinamakan di dalam laman sosialnya.

Info: Izreen Azminda

* Perceraian Izreen dan pasangan berlaku di lokasi penggambaran drama bersiri Kerana Terpaksa Aku Relakan di Pulau Pinang pada hujung Mei 2014.

* Izreen dan Amar mula rapat apabila drama Kerana Terpaksa Aku Relakan lakonan kedua-duanya mendapat sambutan hangat di TV3.

* Nasib dan rezeki aktres Izreen Azminda untuk menempa nama lebih awal seperti rakan seperjuangan seangkatannya agak lambat bermula biarpun memenangi tempat ketiga pertandingan Dewi Remaja 2005/2006 yang dijuarai Scha Al-Yahya.

*Izreen menyahut cabaran yang diberikan oleh Datuk Rosyam Nor untuk kurus dan dalam masa setahun berat Izreen berjaya diturunkan daripada 70 kg kepada 53 kg.

126 dibaca
Berita Harian X