Jumaat, 27 March 2015 | 12:59am

Harimau Malaya gigit jari kena belasah Oman 6-0


PEMAIN Oman, Qasim Said (kanan) mengawal bola sambil cuba dikejar pemain Malaysia, S Kunanlan Subramaniam pada aksi perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Seeb, Muscat, awal pagi ini. - Foto AFP

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya menggigit jari apabila dibelasah Oman 6-0 dalam siri persahabatan antarabangsa di Stadium Seeb, Muscat, awal pagi ini.

Kekalahan dengan angka jaringan besar kini memaksa Dollah Salleh mencari ilham baharu dengan segera sebelum persiapan ke arah Kelayakan Piala Asia 2019 dan Kelayakan Piala Dunia 2018 pada Jun ini.

Oman tidak dinafikan lebih kemas permainan berbanding Malaysia dan mendahului 2-0 pada babak pertama hasil jaringan Yaqoub Abdul Karim pada minit ke-15 sebelum Abdul Azizi Al Mugbali menggandakan kedudukan pada mint ke-42 hasil sepakan penalti selepas S Kunanlan mengasari Raid Ibrahim Saleh dalam kotak penalti.

Selepas rehat, jentera tuan rumah makin licin dan menambah empat lagi gol menerusi Qasim Said pada minit ke-47, Abdul Azizi Al Mugbali (m-51), Yaqoub, m-67 dan Mohsin Johar (m-88).

Dalam perlawanan persahabatan terdahulu menentang Oman, pasukan negara tewas 0-3 pada September 2010.

Sementara itu, skuad Bawah 23 (B-23) negara mengalami kekalahan kedua pada siri perlawanan persahabatan di Thailand selepas kalah kepada kelab Air Force United FC 2-0 di Stadium Thupatemee, Bangkok.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu, yang seri 1-1 menentang skuad B-23 Korea Utara, Ahad lalu akan melengkapkan siri persahabatan itu menentang Police United pada Isnin ini di Stadium Thammasat.

58 dibaca
Berita Harian X