Khamis, 26 March 2015 | 6:27pm

Ibu cemas anak terkunci dalam kereta


ANGGOTA bomba menggunakan dawai penyangkut baju untuk membuka pintu kereta selepas seorang kanak-kanak terkunci di dalam ketiak kejadian di Bandar Seri Jempol , hari ini.

BANDAR SERI JEMPOL: Seorang ibu mengalami detik mencemaskan kira-kira 10 minit apabila anak perempuannya terperangkap dalam kereta ketika singgah hendak membeli pisang goreng.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.55 petang tadi di Kampung Lonek di sini, wanita berusia 30-an itu berhenti di pintu masuk kampung itu dengan meninggalkan anaknya yang berusia dua tahun dalam kereta.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bahau, Ramelan Ribut, berkata sebaik wanita itu keluar, tiba-tiba pintu keretanya terkunci secara automatik.

Katanya, nasib baik enjin tidak dimatikan dan penghawa dingin berfungsi menyebabkan keadaan dalam kereta sejuk.

"Anggota bomba yang tiba di tempat kejadian pada jam 4.02 petang hanya mengambil masa empat minit untuk mengeluarkan mangsa dengan menggunakan dawai penyangkut baju," katanya.

Beliau berkata, ibu mangsa segera menenangkan anaknya yang menangis sebaik pintu di tempat duduk pemandu berjaya dibuka.

Berita Harian X