Rabu, 25 March 2015 | 12:29pm

Lelaki ditahan disyaki rogol pelajar perempuan

JITRA: Seorang lelaki ditahan polis, semalam, kerana disyaki merogol seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun yang juga jirannya di rumah mangsa di Desa KEDA, Malau, di sini.

Difahamkan, suspek berusia 22 tahun yang juga penganggur itu ditahan di rumahnya jam 6 petang semalam, selepas ibu mangsa berusia 40-an membuat laporan di Balai Polis Jitra, di sini, kira-kira setengah jam sebelum itu.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd Rahim Abdullah, berkata suspek dipercayai melakukan perbuatan itu pada 18 Februari lalu kira-kira jam 4.51 pagi dalam bilik tidur mangsa.

Ketika kejadian, ahli keluarga termasuk ibu bapanya sedang tidur dan hanya menyedari kejadian itu selepas mangsa menceritakan perkara terbabit kepada ibunya.

Ibunya yang berang dengan perbuatan suspek meminta dia bertanggungjawab dan mengahwini mangsa tetapi lelaki itu enggan berbuat demikian menyebabkan wanita itu bertindak melaporkan kejadian terbabit kepada polis disebabkan anaknya masih di bawah umur.

Berita Harian X