Selasa, 24 March 2015 | 10:31pm

Hoki: 6 pasukan warnai cabaran Piala Sultan Azlan Shah


SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Sultan Azlan Shah berkenan menerima replika cek penajaan daripada wakil Kerajaan Negeri Perak berjumlah RM200,000 sempena Pertandingan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-24 yang akan berlangsung pada 5 hingga 12 April depan, hari ini. Turut kelihatan, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (dua,kiri). - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Walaupun hanya enam pasukan akan beraksi pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-24, saingan kali ini dilihat tetap menarik dengan penampilan juara bertahan yang menduduki ranking pertama dunia, Australia.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Datuk Abd Rahim Md Ariff berkata kejohanan pada 5 hingga 12 April ini turut menampilkan India, Korea Selatan, New Zealand, Kanada dan Malaysia.

"Selaku juara bertahan, Australia, yang menduduki ranking pertama dunia, kembali sekali lagi untuk mempertahankan kejuaraan. Mereka pasti mahu muncul juara untuk tiga tahun berturut-turut," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan tajaan untuk kejohanan berkenaan di sini, hari ini.


SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Sultan Azlan Shah berkenan menerima replika cek penajaan daripada wakil Chong Wei Berjaya berjumlah RM25,000 sempena Pertandingan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-24 yang akan bermula pada 5 hingga 12 April depan, hari ini. - Foto BERNAMA

Penajaan berjumlah RM1.86 juta daripada 22 penaja itu diterima bagi pihak penganjur oleh penaung kejohanan, Sultan Perak Sultan Dr Nazrin Shah.

Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Abd Rahim berkata semua pasukan yang bertanding akan menghantar pasukan utama negara masing-masing seperti mana yang telah disyaratkan.

"Boleh dikatakan semua pasukan bertanding kali ini sedang mempersiapkan diri untuk beraksi di Sukan Olimpik," katanya.

Kejohanan itu menjadi medan terbaik buat pengendali sementara skuad kebangsaan, Tai Beng Hai untuk menguji barisan pemain bagi mempersiapkan pasukan negara menghadapi pusingan ketiga Liga Hoki Dunia di Belgium pada Jun depan. - BERNAMA

11 dibaca
Berita Harian X