Rabu, 3 September 2014 | 4:36pm

Bekas ketua penyunting BERNAMA meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Penyunting Bahasa Melayu Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Dr Ilias @ Illias Zaidi, 69, meninggal dunia hari ini akibat barah dan komplikasi paru-paru. Allahyarham meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada kira-kira 3.30 pagi tadi, menurut isterinya, Zakiah Harun, 68.

Beliau memberitahu BERNAMA bahawa Allahyarham mula menunjukkan tanda-tanda uzur selepas terjatuh di rumah menjelang Ramadan lalu, namun tetap meneruskan ibadat puasa seperti biasa.

"Bagaimanapun, arwah dimasukkan ke hospital Isnin lalu susulan keadaan kesihatannya semakin meruncing," katanya ketika ditemui di Masjid Amru Ibni Al 'As, Bandar Baru Sentul di sini.

Beliau berkata penyakit yang dialami Allahyarham hanya diketahui selepas suaminya itu menjalani pemeriksaan di hospital.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Muda, Jalan Karak, Batu Caves.

Selain Zakiah, Allahyarham meninggalkan empat anak berumur antara 30 dan 45 tahun serta tiga cucu berumur 10 hingga 16 tahun.

Menurut anak saudaranya yang juga Perunding Astro Arena Sdn Bhd Datuk Hishammuddin Aun, Allahyarham ketika hayatnya seorang yang tegas serta terkenal dengan sifat suka berjenaka.

"Arwah sentiasa ceria namun sangat berdisiplin dan kuat bekerja serta sentiasa meluangkan masa menghasilkan pelbagai penulisan.

"Arwah adalah mentor saya dan turut memperkenalkan kepada saya dunia kewartawanan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri BERNAMA, Datuk Zakaria Abdul Wahab berkata Allahyarham dianggap sebagai pakar rujuk dalam Bahasa Melayu dari segi penghasilan berita.

"Allahyarham seorang yang peramah dan tidak lokek berkongsi ilmu dan pengalaman dalam bidang kewartawanan," katanya.

Pengarang Meja Berita Am BERNAMA, Khairdzir Md Yunus pula berkata Allahyarham banyak memberi tunjuk ajar dari segi memperbaiki dan menghasilkan penulisan berita ketika bertugas sebagai ketua penyunting di agensi berita itu.

"Arwah turut memberi tips bagaimana menghasilkan berita dengan tepat dan pantas," katanya.

Anak kelahiran Teluk Intan, Perak, itu pernah menjadi wartawan Utusan Malaysia sebelum berhijrah ke BERNAMA dan seterusnya berkhidmat pensyarah Universiti Teknologi Mara.

Beliau berkhidmat di BERNAMA dari 1969 hingga 1986.

Allahyarham menghasilkan kira-kira 230 judul buku khususnya berbentuk bimbingan untuk pelajar sekolah dalam subjek Bahasa Melayu di peringkat UPSR, PMR, SPM dan STPM.

Selain itu, beliau adalah seorang penulis novel dan buku yang prolifik.

- BERNAMA

Berita Harian X