Isnin, 23 March 2015 | 3:23pm

Laungan Daulat Tuanku, persembahan kebudayaan iringi perarakan kereta diraja

RIBUAN rakyat melambai ke arah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah yang berarak menaiki kenderaan khas selepas Istitiadat Kemahkotaan Baginda sebagai Sultan Johor kelima di Johor Bahru. - Foto Syarafiq Abd Samad

JOHOR BAHRU: Laungan 'Daulat Tuanku' dan persembahan kebudayaan pelbagai masyarakat Johor mengiringi konvoi perarakan berkereta diraja sempena Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini.

Perarakan ke Istana Bukit Serene itu berlangsung sejurus Sultan Ibrahim dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah selesai menjalani Istiadat Kemahkotaan di Istana Besar.

Kereta Mercedes Benz 600 berwarna hitam membawa pasangan diraja berkenaan berarak mulai 10.30 pagi sepanjang perjalanan sejauh 8.5 kilometer.

Turut menyertai konvoi perarakan itu adalah kenderaan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail dan Che' Puan Khaleeda Bustamam serta kenderaan anakanda-anakanda lain Sultan Ibrahim.

Perarakan kira-kira 45 minit itu melalui Jalan Ibrahim Sultan, Jalan Wong Ah Fook, Jalan Gereja, Jalan Trus kemudian ke Jalan Ismail Sultan, Persiaran Abu Bakar Sultan dan berakhir di Istana Bukit Serene.

Cuaca cerah membolehkan orang ramai khususnya rakyat Johor menyaksikan perarakan itu, dan mereka kelihatan teruja berbaris di sepanjang laluan berkenaan sejak awal pagi lagi.

Sepanjang perarakan berkereta itu, Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah dilihat tersenyum sambil melambaikan tangan kepada ribuan rakyat baginda.

Perarakan itu melalui 13 'checkpoint' yang setiapnya dimeriahkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan yang mewakili setiap daerah dan kaum di negeri ini.

Antara yang mewarnai persembahan itu termasuk seni silat, tarian zapin, kompang, tarian kebudayaan Cina, India serta masyarakat Orang Asli.

Persembahan lain yang mendapat perhatian adalah kompang berirama, pancaragam serta maskot Taman Tema Legoland dan Angry Bird, yang menjadi tumpuan orang ramai sementara menunggu ketibaan konvoi perarakan.

Seorang pelancong Jepun, Sachiko Imai, 25, yang ditemui di Jalan Wong Ah Fook berkata perarakan berkenaan amat menarik dan menjadi kenangan kepadanya yang pertama kali datang ke negara ini.

"Saya tidak menyangka dapat menyaksikan peristiwa yang bersejarah ini bersama rakan, Yukiko Obitsu, 26, dan kami amat teruja menyaksikan persembahan kebudayaan yang ditonjolkan," kata guru berkenaan yang tiba di bandar raya ini dari Singapura, hari ini.

Guru bahasa Sepanyol, Fernando Dellasierra, 47, pula berkata istiadat dan perarakan itu mempunyai ciri yang menarik untuk dihayati.

"Saya dan keluarga teruja dengan istiadat ini memandangkan di negara saya turut ada istidat yang sama," katanya yang berkerja di Singapura. - BERNAMA

Berita Harian X