Isnin, 23 March 2015 | 2:56pm

Djokovic unggul atasi Federer juarai Indian Wells


NOVAK Djokovic, memberi gerak isyarat bilangan 50 dengan tangannya selepas kemenangan ke atas Roger Federer di kejohanan tenis Terbuka BNP Paribas, di Indian Wells, California. - Foto AP

INDIAN WELLS (California): Pemain tenis nombor satu dunia, Novak Djokovic menyambut gelaran ke-50 dalam Jelajah ATP selepas menjuarai Terbuka BNP Paribas menewaskan Roger Federer 6-3 6-7(5) 6-2 dalam final, Ahad.

Ini adalah gelaran keempat bagi pemain Serbia itu di Indian Wells selepas kejayaan pada 2008, 2011 dan 2014.

Djokovic kini menyertai Federer sebagai pemain yang berjaya memenangi kejohanan ini empat kali.

"Saya berasa secara keseluruhan ia perlawanan hebat daripada saya, mantap dan komitmen tinggi memukul setiap bola," kata Djokovic.

"Pujian juga kepada Roger untuk terus melawan dan dia menunjukkan masih menjadi pencabar terkuat. Dia seorang pemain yang tidak menyerah mudah."

Federer pula menghambur kata-kata pujian ke atas lawannya itu yang memiliki kekuatan untuk terus bersaing menjadi juara.

"Novak bertindak baik mendahului saingan dan saya rasa dia ada gear tambahan pada akhir babak permainan," kata bekas pemain nombor satu dunia dari Switzerland itu. - Reuters

Berita Harian X