Isnin, 23 March 2015 | 12:51pm
SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berangkat keluar selepas Istiadat Kemahkotaan di Istana Besar, sebelum acara perarakan sekitar bandar raya Johor Baharu bagi bertemu rakyat. - Foto BERNAMA

Istiadat kemahkotaan berlangsung gilang gemilang

JOHOR BAHRU: Dalam satu istiadat gilang gemilang, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dimahkotakan sebagai Sultan Johor Kelima dalam sejarah Johor Moden.

Istiadat Kemahkotaan berlangsung di Istana Besar di sini.

Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah turut dimahkotakan sebagai Permaisuri Johor.

Istiadat turut dipancar secara langsung menerusi siaran televisyen tempatan yang disaksikan bukan sahaja rakyat Johor tetapi seluruh negara.

Turut berangkat menyaksikan istiadat ialah bonda Sultan Ibrahim, Enche' Besar Hajah Khalsom Abdullah, kekanda dan adinda baginda, Tunku Puteri Johor Tunku Kamariah Sultan Iskandar dan Tunku Besar Zabedah Sultan Iskandar.

Putera-puteri baginda turut hadir termasuk Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Che' Puan Khaleeda Bustamam.

Turut menambah seri istiadat ialah keberangkatan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Paduka Seri Baginda Raja Isteri, Pengiran Anak Hajah Saleha serta Raja-Raja Melayu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abd Rahman turut hadir.

Sultan Ibrahim yang memakai uniform khas berwarna biru gelap yang dihiasai darjah kerabat dan darjah mahkota, manakala Raja Zarith Sofiah berbaju kurung Johor dengan warna yang sama, tiba di perkarangan Istana Besar pada jam 9.35 pagi.

Sultan Ibrahim seterusnya menerima hormat diraja daripada pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor di Tangga Agong Istana Besar sebelum Lagu Bangsa Johor dimainkan.

Istiadat Kemahkotaan bermula pada jam 10 pagi dengan keberangkatan masuk Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah yang berpakaian kain pelayang diraja berwarna biru gelap ke Bilik Singgahsana.

Lagu Bangsa Johor sekali lagi dikumandangkan sejurus keberangkatan masuk baginda berdua, disusuli Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tampil menghadap bagi menyembahkan permasyhuran pemakluman kemahkotaan.

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli kemudiannya memohon perkenan supaya Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah dimahkotakan.

Sultan Ibrahim kemudiannya membaca lafaz ikrar, diikuti bacaan ayat 26 surah Al-Imran dan khutbah oleh Timbalan Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad.

Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Samsudin seterusnya meletakkan Mahkota Kerajaan pada kepala Sultan Ibrahim diiringi selawat dan diikuti peletakan Mahkota Permaisuri di kepala Raja Zarith Sofiah.

Serentak dengan peletakan mahkota, bedilan meriam 21 das dilepaskan pasukan Angkatan Tentera Malaysia dengan diiringi Lagu Bangsa Johor serta disertai bacaan doa selamat oleh timbalan mufti.

Istiadat diteruskan dengan majlis Menghadap Takzim kepada baginda berdua bermula dengan Tunku Ismail, Che' Puan Khaleeda, putera dan puteri baginda, diikuti Tunku Aris Bendahara Tunku Abdul Majid Sultan Iskandar dan isteri Tunku Teh Mazni Yusuf bagi mewakili para kerabat, disusuli Mohamed Khaled bagi mewakili kerajaan negeri serta Abdul Rahim mewakili Jumaah Majlis Diraja Johor.

Selesai acara Menghadap Takzim, lagu Bangsa Johor sekali lagi dikumandangkan, diikuti keberangkatan Sultan Ibrahim dan Permaisuri Zarith Sofiah ke Anjung Istana bagi menerima lintas hormat udara.

Lintas hormat melibatkan tujuh helikopter jenis Eurocopter EC725, Super Lynx dan Agusta Loh A109, dengan tiga daripadanya membawa bendera Johor yang melepaskan asap berwarna putih, biru dan merah - melambangkan warna bendera Johor.

Selesai lintas hormat udara dan diikuti laungan 'Daulat Tuanku', Sultan Ibrahim dan Permaisuri Zarith Sofiah berangkat pula ke perarakan diraja di sekitar bandar raya ini.

Baginda berdua menaiki kereta Mercedes-Benz 600 untuk perjalanan sejauh 8.5 kilometer dari Istana Besar ke Istana Bukit Serene.

Kira-kira 40,000 orang rakyat teruja menyaksikan perarakan diraja yang menyamai perarakan berkenderaan semasa istiadat kemahkotaan Almarhum Sultan Ismail pada 1960. - BERNAMA

149 dibaca
Berita Harian X