Ahad, 22 March 2015 | 9:08pm

PAS pertahan kerusi DUN Chempaka


AHMAD Fathan (dua dari kanan) mengangkat tangan bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob (kanan) sebaik diumumkan memenangi kerusi DUN Chempaka di sini malam ini. - Foto Fathil Asri/Syamsi Suhaimi

KUALA LUMPUR: PAS mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka dengan majoriti 10,092 undi, mengalahkan empat lagi pencabar dari wakil Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dua tahun lalu, PAS menang dengan majoriti 6,500 undi.

Bagaimanapun, peratusan keluar mengundi menurun dengan 55 peratus saja dicatatkan pada PRK kali ini berbanding 85.93 peratus pada PRU-13 lalu.

PAS yang diwakili Ketua Urusan Ulama PAS DUN Chempaka, Ahmad Fathan Mahmood @Mahamad, 42, memperoleh 10,899 undi mengalahkan empat calon bebas lain.

Empat calon bebas itu terdiri bekas pensyarah Izat Bukhary Ismail Bukhary, 48 memperoleh 51 undi; bekas Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) Kelantan, Sharif Mahmood, 59, (807 undi).


PEGAWAI Pengurus Bahagian Pilihan Raya DUN Chempaka, Ibrahim Bakri Mat Deris (kanan) selepas mengumumkan keputusan bagi PRK DUN Chempaka yang dimenangi oleh calon PAS, Ahmad Fathan (tengah) di sini malam ini. Turut hadir calon bebas, Aslah Mamat (kiri). - Foto Fathil Asri/Syamsi Suhaimi

Yang Dipertua Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang, Fadzillah Hussin, 55 ( 89 undi) dan ahli perniagaan Aslah Mamat, 64, memperoleh 27 undi.

Terdapat sebanyak 140 undi rosak.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihanraya DUN Chempaka, Ibrahim Bakri Mat Deris, di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Bitara Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Chepa, di sini sebentar tadi.

Bagaimanapun, kesemua calon bebas tidak hadir di pusat penjumlahan rasmi undi itu.

Sembilan buah sekolah di sini dijadikan pusat membuang undi, mula dibuka 8 pagi ini sebelum ditutup pada jam 5 petang tadi.


AHMAD Fathan (tengah) bersama penyokongnya sebaik tiba untuk mengundi bagi PRK DUN Chempaka di Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa 1, Kota Bharu pagi tadi. - Foto Syamsi Suhaimi

PRK ini diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, 84, pada 12 Februari lepas.

Pada proses pengundian awal pada 18 Mac lepas, sejumlah 35.40 peratus atau 530 orang daripada 1,497 pengundi awal daripada kalangan anggota tentera dan pasangan mereka telah menunaikan tanggungjawab mereka.

Barisan Nasional (BN) tidak bertanding pada PRK ini kerana memberi tumpuan kepada kerja-kerja pemulihan pasca banjir setelah Kelantan dilanda banjir luar biasa pada Disember tahun lalu.

Berita Harian X