Ahad, 22 March 2015 | 12:22pm
Anggota bomba berkumpul di hadapan rumah yang terbakar di Brooklyn New York, hari ini. Tujuh kanak-kanak daripada satu keluarga berusia dalam lingkungan lima hingga 15 tahun terkorban manakala dua yang lain dalam keadaan kritikal. - Foto AFP

7 kanak-kanak maut periuk memasak meletup

NEW YORK: Tujuh kanak-kanak yang mempunyai pertalian keluarga terkorban di New York selepas rumah mereka terbakar dipercayai berpunca daripada periuk elektrik mudah alih yang digunakan tidak berfungsi dengan baik.

Pihak berkuasa berkata, plat panas yang merupakan elemen dalam pemanas elektrik, mungkin telah digunakan untuk menyimpan dan menghangatkan makanan disebabkan budaya Yahudi ortodok yang mengharamkan memasak pada hari Sabath, menurut Pesuruhjaya Kebakaran New York, Daniel Nigro pada sidang medianya.

"Ini adalah tragedi kebakaran terbesar di bandar ini yang pernah terjadi dalam tempoh tujuh tahun.

"Ia adalah satu tragedi bagi keluarga ini, satu tragedi bagi masyarakat ini dan satu tragedi bagi bandar raya ini," kata Nigro dalam komennya seperti dilapor The New York Times.

Anggota bomba dimaklumkan mengenai kebakaran rumah berkenaan selepas tengah malam. Mangsa yang terkorban itu berusia antara lima hingga 15 tahun.

Seorang wanita berusia 45 tahun yang dianggap sebagai ibu mereka dan seorang gadis berusia 14 tahun, sempat melarikan diri dengan melompat keluar dari tingkap dan kini sedang dirawat di sebuah hospital, keadaannya dilaporkan kritikal.

"Saya mendengar seorang wanita menjerit, 'Anak-anak saya berada di sana. Tolong dapatkan mereka, bawa mereka keluar! '," kata seorang Jiran, Nate Weber, kepada New York Post.

Ibu dan lapan kanak-kanak itu ketika kejadian berada di bahagian tingkat atas rumah berkenaan dan kebakaran berlaku di bahagian dapur di tingkat bawah. - AFP

13 dibaca
Berita Harian X