Ahad, 22 March 2015 | 12:02pm

Proses pengundian PRK DUN Chempaka lancar - SPR


Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, (dua dari kanan) melihat proses pengundian ketika melawat tempat mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.06 Chempaka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa 1. - Foto Syamsi Suhaimi

KOTA BHARU: Proses pengundian pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka yang menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon PAS dan empat Bebas, berjalan lancar sejak bermula 8 pagi ini.

Calon PAS, Ahmad Fathan Mahmood@Mahamad, 42, bersama-sama isterinya Azizah Hanim Mohd Daud mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa pada 8.10 pagi tadi.

Sementara empat calon Bebas iaitu bekas pensyarah, Izat Bukhary Ismail Bukhary, 48; bekas Naib Presiden Perkasa Kelantan Sharif Mahmood, 59; Yang Dipertua Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Fadzillah Hussin, 55, dan ahli perniagaan Aslah Mamat, 64, bukan pemilih berdaftar di DUN berkenaan.

Jurucakap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata sehingga jam 10 pagi, sebanyak 19.53 peratus atau 3,983 daripada 20,390 pengundi biasa telah keluar mengundi.

Tinjauan Bernama di beberapa pusat pengundian di sini, mendapati kebanyakan pengundi yang keluar mengundi pada sebelah pagi terdiri daripada golongan warga emas dan wanita.

Cuaca cerah turut memudahkan pergerakan pengundi di kawasan DUN itu untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing di sembilan pusat pengundian yang dibuka sehingga pukul 5 petang ini.


Penduduk kawasan DUN Chempaka mengundi di SMK Pengkalan Chepa 1, Kota Bharu - Foto Syamsi Suhaimi

Sembilan pusat pengundian itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gajah; SK Sabak; SK Parang Puting; SK Kem; SK Che Deris; SK Seri Chempaka; SMK Badang; SMK Pengkalan Chepa dan Sekolah Menengah Agama Tengku Amalin A'ishah Putri Chempaka.

Selain itu, kerusi roda juga disediakan bagi memudahkan pengundi yang uzur untuk memasuki pusat pengundian.

Suasana di sekitar pusat pengundian juga terkawal dengan kehadiran anggota polis untuk mengawal lalu lintas di kawasan tersebut.

Turut melawat pusat pengundian ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan timbalannya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

PRK ini diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, 84, akibat kanser prostat pada 12 Februari lepas.

SPR menjangkakan keputusan rasmi PRK tersebut dapat diketahui seawal jam 8 malam.

Barisan Nasional (BN) tidak bertanding pada PRK itu kerana memberi tumpuan kepada kerja pemulihan pasca banjir setelah Kelantan dilanda banjir luar biasa pada Disember tahun lepas. - BERNAMA

Berita Harian X