Ahad, 22 March 2015 | 8:21am
PENDUDUK di kawasan DUN Chempaka menunaikan kewajipan dengan keluar membuang undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) N.06 DUN Chempaka pusat pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa, Kota Bharu seawal jam 8 pagi tadi. - Foto Syamsi Suhaimi

Pengundian PRK DUN Chempaka bermula


Penduduk kawasan DUN Chempaka mengundi di SMK Pengkalan Chepa 1, Kota Bharu - Foto Syamsi Suhaimi

KOTA BHARU: Sembilan sekolah di sini mula dibuka jam 8 pagi tadi untuk membolehkan 20,390 pemilih mengundi pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka.

Sembilan sekolah itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gajah, SK Sabak, SK Parang Puting, SK Kem, SK Che Deris, SK Seri Chempaka, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badang, SMK Pengkalan Chepa, dan Sekolah Menengah Agama Tengku Amalin A'ishah Putri Chempaka.

Proses pengundian akan berlangsung sehingga jam 5 petang.

PRK DUN Chempaka menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon PAS dan empat calon bebas.


CALON PAS, Ahmad Fathan Mahmood @ Mahamad membuang undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) N.06 DUN Chempaka di saluran 4 pusat pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa, Kota Bharu seawal jam 8 pagi tadi. - Foto Syamsi Suhaimi

PAS diwakili Ketua Urusan Ulama PAS DUN Chempaka, Ahmad Fathan Mahmood@Mahamad, 42.

Empat calon bebas terdiri daripada bekas pensyarah Izat Bukhary Ismail Bukhary, 48; bekas Naib Presiden Perkasa Kelantan Sharif Mahmood, 59; Yang Dipertua Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Fadzillah Hussin, 55, dan ahli perniagaan Aslah Mamat, 64.

PRK ini diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, 84, pada 12 Feb lepas.

Pada proses pengundian awal pada 18 Mac lepas, sejumlah 35.40 peratus atau 530 orang daripada 1,497 pengundi awal daripada kalangan anggota tentera dan pasangan mereka telah menunaikan tanggungjawab mereka.

Barisan Nasional (BN) tidak bertanding pada PRK ini kerana memberi tumpuan kepada kerja-kerja pemulihan pasca banjir setelah Kelantan dilanda banjir luar biasa pada Disember tahun lepas. - BERNAMA

Berita Harian X