Sabtu, 21 March 2015 | 3:59pm

PRK Chempaka: 1,020 pegawai, anggota polis bertugas esok


TIMBALAN Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Hashim Abdullah (kanan) ketika melawat Pusat Penjumlahan undi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, di Dewan Bitara Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Chepa, hari ini. - Foto BERNAMA

KOTA BHARU: Polis Kelantan menempatkan sejumlah 1,020 pegawai dan anggota bagi mengawal keselamatan pada hari pengundian pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka yang akan berlangsung esok.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim, berkata semua pegawai dan anggotanya mula bertugas seawal 5.30 pagi terutama di sembilan lokasi pengundian yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya.

"Pengundi jangan khuatir kerana polis sentiasa ada di pusat mengundi. Jika mereka menghadapi masalah, maklum kepada polis yang bertugas," katanya pada sidang akhbar di Markas Batalion 8 Pasukan Gerakan Am Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Sembilan lokasi pengundian itu ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gajah, SK Sabak, SK Parang Puting, SK Kem, SK Che Deris, SK Seri Chempaka, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badang, SMK Pengkalan Chepa, dan Sekolah Menengah Agama Tengku Amalin A'ishah Putri Chempaka.

Mazlan berkata, pihaknya juga akan menempatkan lebih ramai anggota di beberapa kawasan panas yang dikenal pasti kerana dijangka perayu undi dari luar negeri ini akan turun merayu undi.

Selain itu, beliau berkata polis tidak menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak berhubung kesalahan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Sejumlah 20,390 pemilih berdaftar layak mengundi esok dalam pilihan raya kecil yang menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon PAS dan empat calon Bebas.

PAS diwakili Ketua Urusan Ulama PAS DUN Chempaka, Ahmad Fathan Mahmood@Mahamad, 42.

Empat calon Bebas ialah bekas pensyarah, Izat Bukhary Ismail Bukhary, 48; bekas Naib Presiden PERKASA Kelantan, Sharif Mahmood, 59; Yang Dipertua Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang, Fadzillah Hussin, 55, dan pesara Kementerian Kesihatan, Aslah Mamat, 64.

- BERNAMA

Berita Harian X