Rabu, 3 September 2014 | 12:35pm

Jenazah bapa MB Terengganu selamat dikebumikan

KUALA TERENGGANU: Jenazah bapa Menteri Besar Terengganu, Allahyarham Abdul Rahman Mohammad selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Seberang Takir di sini kira-kira 11.30 pagi ini.

Terdahulu, jenazah disembahyangkan di kediaman rasmi Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman, di Seri Iman kira-kira jam 10 pagi.

Ahmad Razif dan adik beradik lelakinya dilihat turun ke liang lahad untuk menyambut jenazah bapanya dan menyempurnakan pengebumian jenazah manakala talkin dibacakan Mufti Terengganu, Datuk Wan Zulkifli Wan Muda.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Jailani Ngah, dan Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Zubir Embong, adalah antara lebih 2,000 penduduk kampung, rakan, pegawai kerajaan serta EXCO kerajaan negeri hadir menyembahyangkan jenazah serta memberi penghormatan terakhir.

Abdul Rahman, 86, meninggal dunia kira-kira 6.15 petang semalam di Seri Iman akibat komplikasi paru-paru.

Allahyarham meninggalkan sembilan orang anak iaitu lapan lelaki dan seorang perempuan.

- BERNAMA

Berita Harian X