Sabtu, 21 March 2015 | 10:56am

Pasaran getah dijangka bercampur-campur minggu depan

KUALA LUMPUR: Pasaran getah Malaysia dijangka diniagakan bercampur-campur minggu depan, menjejaki bekalan bahan mentah dan pergerakan ringgit.

"Berikutan kita memasuki musim daun luruh, bahan mentah seperti getah beku mangkuk, yang diperoleh daripada pokok getah, adalah sukar untuk mendapatkannya," kata peniaga kepada Bernama.

Beliau berkata, trend pasaran niaga hadapan serantau dan pergerakan harga minyak mentah turut menjadi faktor menguasai pasaran.

"Bagi SMR 20, harga dijangka dipengaruhi oleh Bursa Komoditi Tokyo (TOCOM) dan Bursa Niaga Hadapan Shanghai (SHFE).

"Bagaimanapun, jika ia merosot, ia tidak akan menyaksikan banyak perbezaan berikutan bekalan bahan mentah dijangka masih kukuh," katanya.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, harga fizikal rasmi Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR 20 jatuh 0.5 sen kepada 514.50 sen sekilogram manakala susu getah pukal menokok sembilan sen kepada 428 sen sekilogram.

Harga penutup tidak rasmi bagi gred tayar SMR 20 tidak berubah pada 516 sen sekilogram manakala susu getah pukal menokok 6.5 sen kepada 427.5 sen sekilogram.

- BERNAMA

Berita Harian X