Jumaat, 20 March 2015 | 7:04am

Pertarungan sebenar isu hudud bermula

Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 yang dibentangkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Bharu mendapat sokongan padu termasuk ADUN UMNO.

Pada masa sama, kerajaan PAS amat berkeyakinan membawa enakmen ini lebih-lebih lagi dengan bilangan anggota mereka yang melebihi dua pertiga, iaitu 32 orang selain wakil tunggal Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi kawasan Guchil, Mohd Ruslan Puteh.

Sokongan moral Sultan Kelantan Sultan Muhammad V terhadap cadangan pelaksanaan hukum itu ketika bertitah pada Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan baru-baru ini membuka jalan mudah bagi PAS.

Perjuangan hudud oleh PAS telah diketahui umum sejak sekian lama. Apabila PAS memerintah Kelantan sejak tahun 1990 di bawah kepemimpinan Menteri Besar, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat, parti itu meletakkan pelaksanaan hukum hudud sebagai agenda keutamaan.

Malah, bekas Menteri Besar Kelantan itu dikatakan pernah meninggalkan wasiat agar pelaksanaannya mesti diteruskan di Kelantan meskipun dengan ketiadaannya seperti yang pernah dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Aziz baru-baru ini.

Keseriusan PAS dalam memperjuangkan hudud kali ini dilihat tepat pada masanya setelah parti Islam itu dikritik hebat apabila didakwa sudah lari dari landasan perjuangannya.

Perkembangan ini sememangnya lumrah bagi parti berimejkan Islam di dunia apabila terhimpit dalam persimpangan suara atau syariah. Rata-rata parti itu memilih suara berbanding syariah kerana berasakan sokongan pengundi lebih penting dalam konteks politik semasa. Perjuangan syariah sering menjadi korban kerana ia tidak mendatangkan undi dan sokongan kepada parti berimejkan Islam.

Tarik tali PAS, DAP

Apabila rang undang-undang pelaksanaan hudud ini dibawa, DAP adalah yang paling lantang mengkritik ketegasan PAS. Malah DAP mengugut keluar dari pakatan pembangkang jika PAS masih berterusan memperjuangkan hudud.

Keadaan amat jelas ketika menjelang Pilihan Raya Sarawak mutakhir ini apabila DAP lantang memberikan kata dua kepada PAS. DAP secara tegas menolak perjuangan hudud PAS dan mahu parti itu menggugurkannya jika mahu kekal dalam pakatan pembangkang. Lebih serius lagi, DAP dilihat mahu menentukan kepemimpinan PAS apabila tidak mahu kumpulan ulama dan prohudud diketuai Datuk Seri Hadi Awang dipilih dalam pemilihan tahun ini.

Banyak pihak mahu melihat PAS tidak lagi tunduk dengan asakan DAP. PAS perlu percaya pelaksanaan hudud boleh dijayakan tanpa sokongan DAP. Tambahan pula, selepas bekerjasama sejak tahun 1998, DAP masih tidak dapat menerima perjuangan hudud PAS. Setelah banyak perbincangan dilakukan, nampaknya DAP masih tidak dapat menerima perjuangan hudud PAS.

Persoalannya, apakah ini petanda baik untuk Tahaluf Siyasi PAS dalam pakatan pembangkang? Bukankah, antara motif utama kerjasama politik PAS untuk melaksanakan dakwah dan menjelaskan ajaran Islam kepada bukan Islam termasuk hudud?

Selepas kematian Karpal Singh, Nik Aziz pernah memberitahu bahawa antara kegagalan beliau adalah ketidakmampuannya termasuk PAS meyakinkan perjuangan hudud kepada mendiang dan nampaknya ia berterusan hingga sekarang.

Cabaran pelaksanaan hudud

Selepas rang undang-undang ini diluluskan dalam Sidang DUN Kelantan nanti, episod seterusnya adalah ia dibawa ke Parlimen sebelum diluluskan pelaksanaannya. Maka, di sinilah bermulanya pertarungan sebenar.

Ada pemimpin PAS yang berhaluan sederhana melihat hudud sukar untuk dilaksanakan kerana halangan Perlembagaan. Mereka berpendapat bukan soal hudud itu tidak relevan tetapi ia tidak boleh dilaksanakan atas faktor undang-undang.

Membaca komentar dan pandangan rakyat Malaysia dalam media sosial tentang isu hudud, nampaknya lebih ramai yang dapat menerima daripada menolak. Mereka berpendapat, hudud adalah hukum yang ditentukan Allah dan menjadi kewajipan orang Islam melaksanakannya.

Kini pandangan yang menolak hudud sudah menjadi minoriti dan terpinggir.

Dalam kita memperkatakan isu hudud ini, kita tidak harus lupa bahawa kerajaan telah pun bersetuju menubuhkan jawatankuasa teknikal hudud peringkat kebangsaan dibentuk sebelum PAS membentang usul pelaksanaan hukum hudud di Parlimen nanti. Ini bagi membolehkan isu berkenaan dibincang terlebih dahulu dengan membabitkan banyak pihak yang pakar mengenainya.

Setelah lebih 20 tahun isu hudud ini diketengahkan, sentimen dan penerimaan masyarakat Islam khususnya telah berubah. Kita berharap perjuangan hudud ini bukan menjadi suatu kemenangan politik satu-satu pihak sahaja tetapi perjuangan kepada keadilan, iaitu meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Jika ditakdirkan Malaysia melaksanakan hudud pada masa akan datang, cabarannya bukan sedikit. Banyak persediaan perlu dilakukan dan pelaksanaan hudud mesti dijayakan sesempurna mungkin agar tidak menimbulkan fitnah kepada Islam itu sendiri.

Penulis ialah Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM)

30 dibaca
Berita Harian X