Jumaat, 20 March 2015 | 12:05am

Hartawan Arab berlumba-lumba hantar makanan


KEADAAN ketika berbuka di Masjid Nabawi.

RAMADAN al-Mubarak bulan yang penuh dengan keberkatan yang amat dinanti-nantikan kebanyakan umat Islam kerana pada bulan ini baik miskin mahupun kaya, berlumba-lumba membuat amal ibadat.

Tanpa mengira besar ataupun kecil, yang penting fadilat serta ribuan pahala dijanjikan Allah SWT ingin direbut umat Islam sepanjang bulan ini.

Penulis yang sempat mengerjakan umrah pada Ramadan tahun lalu merasai keberkatan bulan itu di bumi anbia.

Bermula ziarah di Masjid Nabawi di Madinah Munawarah, penulis terpegun melihat begitu bersemangat remaja Arab serta Habsyi, berlumba-lumba mencari umat Islam untuk berbuka puasa.

Bukan seorang atau berdua, malah ribuan remaja terbabit dalam kerja amal ini. Rupa-rupanya, mereka ditugaskan golongan hartawan atau orang kaya di Madinah mencari umat Islam yang bersolat Maghrib di Masjid Nabawi untuk berbuka puasa di saf yang ditentukan.

Sebaik saja umat Islam tanpa mengira kaum atau darjat memasuki pekarangan masjid, petugas ini terus mempelawa dan menarik tangan mereka untuk dibawa ke lokasi berbuka puasa yang sudah ditetapkan.

Walaupun berbuka dengan hanya susu masam (yogurt), kurma, sekeping roti, air kotak atau air zamzam, ia sudah memadai.

Tanpa makanan mewah yang dibeli di bazar Ramadan seperti di Malaysia, ia cukup menyenangkan hati pengunjung Masjid Nabawi.

Berbanding umat Islam di Malaysia, suasana sebegini sukar dilihat. Jika ada pun hanya makanan yang tersedia di masjid mahupun surau atau di khemah.

Bagi orang kaya atau hartawan Arab, Ramadan adalah bulan berlumba-lumba memberi sedekah makanan dan minuman untuk umat Islam berbuka puasa.

Tidak kurang hebatnya, mereka turut bersedekah makanan lain untuk dibawa pulang ke rumah atau hotel penginapan di sekitar masjid.

Suasana yang sama berlaku di Masjidil Haram Makkah al-Mukaramah. Hartawan di Makkah turut bersedekah sama ada di pekarangan masjid mahupun laluan ke Masjidil Haram.

Agih makanan dengan van

Mereka bersedekah membawa van atau lori kecil dengan membahagi-bahagikan paket makanan dan minuman kepada umat Islam yang berjalan kaki ke masjid sebelum waktu solat Maghrib.

Sebaik sebuah lori habis mengagihkan makanan, datang lori lain bagi tujuan sama. Pengunjung Masjidil Haram turut merasai nasi mandi kambing, selain kurma dan air kotak yang menjadi menu utama. Itu berlaku di luar pekarangan Masjidil Haram pada waktu Maghrib setiap hari.

Bagi yang kurang berkemampuan, mereka juga berlumba-lumba membuat pahala yang tidak pernah terfikir oleh penulis.

Sebelum memasuki Masjidil Haram, jemaah yang ingin membawa selipar atau kasut diminta menyimpannya dalam beg plastik atau uncang yang dibawa.

Enam hari berada di Makkah, penulis melihat seorang lelaki berusia lewat 50-an begitu tekun mengoyak plastik untuk diagihkan kepada jutaan umat Islam yang datang sama ada melakukan tawaf mahupun bersolat, tanpa mengira waktu.

Selepas gulungan besar plastik berkenaan habis, dia menggantikan gulungan baru tanpa berasa penat bagi melayan kerenah pengunjung. Apabila tiba waktu solat, barulah beliau berehat bersolat dan menyambungnya kembali apabila selesai.

Solat tarawih di Masjidil Haram panjang waktunya kerana imam bertugas menyempurnakan satu juzuk satu malam. Ini membuatkan jemaah keletihan termasuk penulis. Namun, pada rehat selepas solat dua rakaat, beberapa remaja Arab atau Habsyi datang menawarkan air zamzam untuk diminum.

Begitu juga selepas melakukan solat atau tawaf, mereka yang berpeluh diberi tisu. Terkedu seketika penulis kerana mereka sanggup melakukan apa juga pekerjaan semata-mata untuk mengejar pahala pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

Moralnya, di Malaysia kita tidak dapat melihat amalan sebegini khususnya dalam kalangan remaja. Seharusnya semangat merebut pahala pada bulan Ramadan ditanam di hati umat Islam di negara ini bagi mendapatkan keberkatan serta pahala berlipat kali ganda.

Berita Harian X