Rabu, 3 September 2014 | 9:24am

Syarikat Bumiputera patut fokus industri berteknologi tinggi

Langkah Majlis Amanah Rakyat (MARA) memberi bantuan kepada usahawan Bumiputera yang menjalankan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan peruntukan RM100 juta supaya mereka mampu mengembangkan perniagaan ke peringkat lebih tinggi.

MARA sentiasa berusaha dalam menyediakan peluang kepada usahawan Bumiputera untuk merintis laluan untuk mereka meneroka pasaran antarabangsa dan sekarang ini pula bagi menceburi industri berteknologi lebih tinggi.

Pengumuman Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal itu baru-baru ini menyediakan platform kepada usahawan Bumiputera yang berpotensi memiliki pegangan saham dalam syarikat usaha sama dengan syarikat PKS antarabangsa yang berdaya saing. Bidang perindustrian berteknologi tinggi ini masih kurang diceburi Bumiputera kerana itu sudah sampai masanya mereka menyahut cabaran dengan wujudnya bantuan khusus itu.

Program berkenaan bertujuan membuka ruang kepada usahawan Bumiputera mendapat akses meluas kepada teknologi dan meningkatkan rangkaian perniagaan Bumiputera ke tahap global. Jadi usahawan berdaya saing Melalui usaha ini, usahawan Bumiputera akan terbabit secara langsung dalam pengurusan syarikat berkenaan dan seterusnya membawa mereka menjadi usahawan berdaya saing seperti yang dihasratkan.

"Bagi program ini, MARA menerima peruntukan permulaan daripada Unit Perancang Ekonomi (EPU) sebanyak RM50 juta pada tahun lalu dan jumlah itu dinaikkan kepada RM100 juta pada tahun ini," kata Mohd Shafie.

Sehubungan ini, katanya, setiap usahawan Bumiputera yang terbabit dalam program berkenaan akan menerima pembiayaan bagi pembelian pegangan saham dengan maksimum RM5 juta. Usaha ke arah itu telah pun dimulakan pada tahun ini apabila anak syarikat MARA, M-Aerotech yang terbabit secara langsung dalam industri aeroangkasa menandatangani memorandum persefahaman dengan North West Aerospace Alliance iaitu gabungan peserta industri aeroangkasa terbesar di Eropah Barat.

"Kerjasama strategik ini akan membawa PKS dari Eropah untuk beroperasi di AAC dan bakal memberikan akses kepada perkembangan industri aeroangkasa di Malaysia. "Dalam jangka panjang usaha ini dilihat sebagai pemangkin peningkatan ekuiti Bumiputera dalam bidang berpendapatan tinggi dan bakal meningkatkan pegangan ekuiti Bumiputera dalam penciptaan kekayaan," kata Mohd Shafie.

Nilai peruntukan itu sejajar dengan pembangunan negara yang semakin pesat khususnya dalam bidang sains dan teknologi.Usahawan Bumiputera perlu mengambil contoh syarikat di negara maju yang sudah sekian lama cemerlang dalam bidang teknologi maklumat dengan penghasilan pelbagai produk seperti Samsung dan Nokia yang terkenal dengan telefon bimbitnya. Justeru, sudah sampai masanya bagi Malaysia pula untuk melahirkan syarikat Bumiputera dengan produk canggih yang membanggakan dan dapat meningkatkan imej negara.

Dengan peluang terbuka luas ini usahawan Bumiputera sepatutnya berusaha lebih gigih dengan mengubah hala tuju menerusi perubahan dalam syarikat mereka supaya tidak terus berada di takuk lama dengan industri tradisional sahaja. Fokus industri Bumiputera perlu diubah. Mereka bukan sahaja perlu bersedia bersaing dengan syarikat tempatan malah antarabangsa. Oleh yang demikian, sudah sampai masanya golongan Bumiputera mengubah corak pemikiran dan tindak tanduk dalam meningkatkan pembabitan dan penguasaan dalam industri teknologi tinggi.

Ini bagi memberi masa depan yang lebih baik kepada usahawan Bumiputera sejajar dengan usaha negara untuk mencapai status sebagai negara maju menjelang tahun 2020.

21 dibaca
Berita Harian X