Khamis, 19 March 2015 | 11:45am
ROGER Federer dan Rafael Nadal dari Sepanyol melangkah ke suku akhir Terbuka BNP Paribas. - Foto AFP

Federer, Rafael Nadal mara, Nishikori tersekat di Indian Wells

INDIAN WELLS (California): Bintang tenis Switzerland, Roger Federer dan Rafael Nadal dari Sepanyol melangkah ke suku akhir Terbuka BNP Paribas selepas mengalahkan lawan masing-masing hari ini.

Mereka akan menyertai Andy Murray yang terlebih dahulu layak namun pemain sensasi Jepun, Kei Nishikori tersingkir.

Federer menewaskan pemain Amerika Syarikat, Jack Sock 6-3 6-2 manakala Nadal menang straight set, 6-2 6-4 ke atas Gilles Simon dari Perancis.

Menang mudah set pertama, Nadal begitupun dipaksa bekerja keras pada set kedua apabila ketinggalan 2-0 sebelum bangkit menewaskan Simon untuk kali ketujuh dalam lapan pertemuan sebelum ini.

"Selepas bermain permainan yang buruk dengan servis saya, saya kemudian berjaya bangkit untuk fokus sepenuhnya dan bersedia secara mental untuk kembali bagi perlawanan seterusnya," kata Nadal.

"Saya secara mentalnya menunggu peluang. Saya bernasib baik untuk mendapat beberapa mata baik dalam perlawanan itu dan memperoleh kembali mata break."

Murray dalam pada itu melangkah ke suku akhir selepas menewaskan pemain Perancis, Adrian Mannarino 6-3 6-3 manakala Feliciano Lopez dari Sepanyol menyingkirkan pilihan kelima, Nishikori.

Kemenangan ke atas Mannarino meletakkan Murray setaraf lagenda tenis Britain, Tim Henman sebagai pemain Britain paling berjaya di Era Terbuka dengan merekodkan 498 kemenangan dalam acara perseorangan.

"Saya fikir saya bermain dengan baik. Ia adalah perlawanan yang sukar. Saya melakukan kerja yang baik menentang lawan yang sukar," kata Murray yang akan berdepan Lopez di peringkat seterusnya.

Lopez dalam pada itu mengharungi permainan cemerlang apabila melakukan 12 pukulan servis ace untuk menewaskan Nishikori 6-4 7-6 (2) yang menyifatkan permainannya buruk dalam perlawanan itu terutama di set pertama.

"Saya fikir saya mengharungi perlawanan yang amat buruk ketika keputusan 5-4," kata Nishikori yang tidak pernah melepasi pusingan keempat di Indian Wells, sebelum ini.

"Sebelum itu, saya bermain dengan baik. Dia melakukan servis yang hebat namun saya mempunyai segala peluang. Hanya satu permainan buruk ketika 5-4. Saya fikir itulah yang terjadi pada permainan hari ini." - AP

Berita Harian X