PETALING JAYA: Kelab bola sepak gergasi Inggeris, Liverpool FC, akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan Pilihan Malaysia di Stadium Bukit Jalil di sini pada 24 Julai ini.
Malaysia adalah satu-satunya destinasi kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dalam jelajah pramusim kelab itu di Asia Tenggara.
Kunjungan Liverpool ke Malaysia adalah kali kedua selepas menang 6-3 di pada perlawanan persahabatan di hadapan lebih 80,000 penonton di stadium sama pada 2011.
Kelab itu juga dijanka membawa lagenda kelab itu, Robbie Fowler dan Ian Rush.
"Kami berjanji pada 2011 untuk kembali semula ke Malaysia selepas menerima sambutan hebat," kata Pengarah Komersial kelab itu, Olly Dale pada sidang media di sini hari ini.
Perlawanan itu dianjurkan oleh ProEvents International Sdn Bhd dan diiktiraf oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Perlawanan itu akan berlangsung pada jam 8.45 malam.
Pada sidang media itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata adalah satu penghormatan besar untuk melihat bintang Liverpool beraksi secara dekat di Malaysia.
Mengulas keadaan padang di stadium berkenaan, beliau berkata kerja-kerja menambah baik padang itu akan selesai Mei ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ProEvents, Julian Kam berkata peminat dari Singapura, Thailand, Indonesia dan Vietnam juga dijangka datang ke Kuala Lumpur untuk menyaksikan aksi kelab kesayangan mereka.
Beliau berkata, butiran lanjut mengenai harga tiket dan tarikh jualan tiket akan diumumkan bulan depan.
- BERNAMA