Selasa, 17 March 2015 | 10:57am
RAJA Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (kiri) berkenan menyampaikan plak kepada Presiden Majlis Agama Islam Phuket Abdul Malik Husin (kanan) selepas majlis perasmian Multaqa Ummatan Wahidah yang berlangsung di Krabi Front Bay Resort i, Sabtu lepas.-Foto BERNAMA

MAIPs, MAI enam Wilayah Andaman Thailand jalin perkongsian pintar

KANGAR: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Majlis Agama Islam (MAI) enam Wilayah Andaman di Selatan Thailand akan menjalinkan perkongsian pintar dalam pelbagai bidang demi manfaat umat Islam.

Keputusan itu dicapai melalui bengkel sempena 'Multaqa Ummatan Wahidah' (Pertemuan Satu Umat) antara MAIPs yang diketuai Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dengan MAI Wilayah Krabi, Ranong, Phuket, Phang Nga, Trang dan Satun di Krabi Front Bay Resort, Krabi, Sabtu lepas.

"Setelah berbincang dan bertawakal, Multaqa menyarankan resolusi untuk berkongsi kepakaran dalam hal ehwal halal dengan menyenaraikan makanan yang mendapat Sijil Halal Malaysia dan Sijil Halal Thailand.

"Makanan yang diragui status halal disenaraikan untuk dijadikan rujukan umat Islam dan digesa mempromosi dan memajukan industri halal penganutnya yang merupakan sumber kekuatan ekonomi ummah," titah Tuanku Syed Faizuddin.

Dalam kenyataan di sini hari ini, baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs turut mencadangkan perjumpaan khas antara MAI enam Wilayah, MAIPs dan pihak berkuasa agama Malaysia untuk membincangkan pelbagai isu termasuk pernikahan dari aspek pengiktirafan dan pemantapan pengurusan.

Resolusi lain ialah:

* Mencadang diwujudkan prosedur kutipan derma dan sumbangan secara komprehensif termasuk kesan aspek undang-undang (Imigresen), kesahihan, keperluan dan pengesahan pihak berkuasa kedua-dua negara.

* Dakwah perlu disemarak dan dipertingkatkan bagi memperteguh pegangan umat Islam terhadap ajaran Islam, perkongsian pintar para pendakwah, menyediakan sumber rujukan dan bahasa Melayu sebagai bahasa penghubung.

* Memandang serius terhadap kesedaran berzakat oleh umat Islam, meningkatkan kecekapan pengurusan kutipan, menambah baik agihan, menyemai kesedaran melalui pelbagai medium termasuk khutbah Jumaat, ceramah agama, media elektronik dan cetak bagi menggalak umat Islam membayar zakat.

* Menyarankan perkongsian pintar dalam usaha memantapkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan umat Islam di Nusantara terutama di enam Wilayah Andaman, mengadakan program pertukaran guru bahasa Melayu dan mewajibkan pembelajaran dan pengajaran bahasa Melayu di sekolah-sekolah Agama.

Sempena lawatan tiga hari baginda dan rombongan MAIPs ke MAI Wilayah Andaman Selatan sejak Jumaat lepas, pelbagai aktiviti dianjurkan antaranya kuliah maghrib di enam buah masjid, lawatan ke pusat-pusat komuniti Islam dan kayuhan basikal 'MAIPs Peduli Khas' sejauh 14 kilometer di perkampungan Krong Kap Mau, Krabi. - BERNAMA

92 dibaca
Berita Harian X