Isnin, 16 March 2015 | 8:18pm

Saya tiada kaitan dengan isu Nina, tunang - Uqasha


Uqasha Senrose

KUALA LUMPUR : Pelakon Uqasha Senrose menepis dakwaan mengatakan kononnya beliau menjalinkan hubungan dengan tunang pelakon dari Brunei, Nina Iskandar seperti yang heboh diperkatakan dalam laman sosial.

Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 23, berkata, beliau terkejut kerana secara tiba-tiba namanya dikatakan menjadi punca keretakan Nina dan tunangnya, Ahmed Haiqal, dan meminta pihak yang menuduhnya itu mengemukakan bukti kepadanya.

"Saya pernah berjumpa dengan tunang Nina itu empat tahun lalu kerana dia adalah kawan kepada kawan saya dan kami tidak pernah bercakap atau berjumpa lagi selepas itu.

"Apa yang boleh saya katakan adalah kami berdua tidak mempunyai sebarang hubungan dan saya merayu kepada pihak yang menuduh saya untuk memberikan bukti sama ada dari segi 'text' atau gambar. Tidak adil untuk mendakwa tanpa sebarang bukti," kata Uqasha kepada BH Online dalam nada tegas.

Uqasha yang kedengaran sebak di hujung talian berkata, beliau tidak mahu tuduhan melulu serta tidak berasas yang dilemparkan kepadanya itu menjejaskan hubungannya dengan Nina.

"Saya tidak mahu gosip ini memberikan kesan kepada hubungan saya dan Nina. Walaupun kami tidak rapat namun saya tidak mahu gosip ini membuatkan saya dan Nina bermasam muka.

"Tiada apa yang ingin saya sorokkan jadi saya memilih untuk menegakkan kebenaran. Jika boleh saya pun tidak mahu membesarkan isu ini tetapi saya perlu tampil untuk menjelaskan perkara sebenar.

"Bagi saya, Nina adalah seorang gadis yang baik dan 'sweet'. Malah saya tidak mahu Nina berfikir yang bukan-bukan terhadap saya dengan timbulnya gosip sebegini," kata Uqasha mengakhiri perbualan.

Berita Harian X