Isnin, 16 March 2015 | 7:30pm

PRK DUN Chempaka : 10 laporan polis diterima sepanjang kempen


CALON Bebas DUN Chempaka dari Pertubuhan Cik Siti Wan Kembang, Fadzillah Hussin (dua dari kanan) mengedarkan risalah kempennya kepada penduduk di sekitar Pengkalan Chepa, semalam. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

KOTA BAHARU: Sepuluh laporan polis dibuat beberapa individu sepanjang berlangsungnya kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, kata Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim.

Mazlan berkata, laporan polis yang diterima adalah laporan biasa dan setakat ini tiada sebarang laporan berbaur hasutan dibuat oleh mana-mana pihak.

"Saya menasihatkan calon dan parti yang bertanding supaya tidak melakukan perkara yang tidak diingini dan patuhi peraturan yang telah ditetapkan di dalam permit.

"Jangan timbulkan perkara yang boleh cetuskan kebimbangan masyarakat kerana kita mahu kempen berlangsung dengan lancar dan aman," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Beliau berkata, poster atau kain rentang mana-mana pertubuhan atau parti yang tidak bertanding pada PRK tersebut tidak dibenarkan digantung atau dipamerkan sepanjang tempoh kempen berlangsung.

Selain itu, Mazlan berkata, sembilan ceramah diadakan sepanjang tempoh berkempen ini dengan lima daripadanya adalah daripada parti PAS.

"Tiga ceramah diadakan oleh calon yang menggunakan lambang Gajah dan satu lagi oleh calon yang menggunakan lambang Buku," katanya.

PRK itu menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon PAS Ahmad Fathan Mahmood@Mahamad, 42, dan empat calon Bebas iaitu bekas pensyarah Izat Bukhary Ismail Bukhary, 48; ahli perniagaan Aslah Mamat, 64; bekas Naib Presiden Perkasa Kelantan Sharif Mahmood, 59; dan Yang Dipertua Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Fadzillah Hussin, 55.

Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, 84, akibat kanser prostat pada 12 Feb lepas.

Pada PRU13, Nik Abdul Aziz yang juga bekas menteri besar Kelantan mengalahkan calon Barisan Nasional Wan Razman Wan Abdul Razak dengan majoriti 6,500 undi.

BN memutuskan tidak bertanding pada PRK itu bagi memberi tumpuan kepada kerja pemulihan pasca banjir setelah Kelantan dilanda banjir luar biasa pada Disember tahun lepas.

Pengundian akan berlangsung pada 22 Mac.

Sementara itu, pemberita menghadapi kesukaran untuk membuat temu bual dengan calon PAS, Ahmad Fathan apabila dihalang oleh anggota PAS lain dengan memberi alasan hendak bergerak ke tempat lain walaupun Ahmad Fathan kelihatan mahu berbicara dengan pemberita.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan gagal dihubungi bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara berkenaan. - BERNAMA

Berita Harian X