Isnin, 16 March 2015 | 4:55pm

Syafiq Kyle tak mahu keluarga terpalit gosip

KUALA LUMPUR : Pendatang baru Syafiq Kyle menegaskan bahawa beliau tidak mahu ahli keluarganya terpalit dengan sebarang kontroversi yang dilemparkan kepadanya.

Pemilik nama sebenar Mohd Syafiq Shamim itu berkata, beliau tidak mahu mengaitkan ahli keluarganya dalam dunia seni kerana enggan melukakan hati keluarganya terutama sekali ibunya.

"Saya tidak terasa jika orang bercakap mengenai saya namun apabila ada yang mengaitkan ibu saya itu yang membuatkan saya marah. Timbul gosip yang mengatakan ibu saya tidak menyukai Uqasha dan saya rasa tidak perlu membabitkan ibu saya dalam hal ini.

"Pada mulanya saya tidak tahu menahu mengenai isu itu namun apabila ada yang menanyakan kepada saya maka saya pun mencari punca gosip itu. Apa yang saya boleh katakan adalah seorang ibu pastinya mahukan yang terbaik buat anak-anaknya," kata Syafiq ketika ditemui di Drama Festival Kuala Lumpur 2015 di Balai Berita, di sini.

Mengulas mengenai hubungannya dengan pelakon Uqasha Senrose, Syafiq mengakui mereka sedang berkawan rapat namun belum mempunyai sebarang perancangan untuk ke peringkat seterusnya.

"Kami masing-masing sedang sibuk membina kerjaya dan itu adalah fokus utama kami buat masa ini. Setakat ini kami memang tidak ada sebarang perancangan untuk ke peringkat seterusnya.

"Saya dan Uqasha tidak merancang apa yang ingin kami katakan kepada media kerana apa yang kami keluar dari mulut kami lahir dari hati masing-masing," kata Syafiq.

Terbaru, Uqasha juga turut dikatakan diintai anak hartawan namun Syafiq enggan melatah dan memberikan kebebasan kepada Uqasha untuk membuat pilihan.

"Terus terang apabila timbul gosip sebegitu saya memang tidak terasa apa-apa kerana bagi saya semuanya terpulang kepada Uqasha kerana itu adalah hak dia. Walaupun saya berkawan dengan dia namun dia berhak memilih apa yang dia mahukan," kata Syafiq.

Selain itu, Syafiq akan memulakan penggambaran telefilem untuk slot Cerekarama sempena Hari Guru. Syafiq bakal bergandingan bersama Azhan Rani dan Rita Rudaini untuk telefilem itu.

44 dibaca
Berita Harian X