Isnin, 16 March 2015 | 2:34pm

Cukai eksport MSM naik kepada 4.5 peratus mulai April

KUALA LUMPUR: Cukai eksport minyak sawit mentah (MSM) akan dinaikkan kepada 4.5 peratus mulai April ini.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia, menerusi satu pekeliling yang disiarkan di laman web Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), menyatakan bagi bulan April, paras harga yang diunjurkan adalah antara RM2,250 dan RM2,400 satu tan metrik.

Menurut MPOB, pihak Kastam akan menaikkan lagi cukai berkenaan jika harga rujukan bagi eksport itu melebihi RM2,250 satu tan metrik.

Pada masa ini, harga rujukan itu adalah RM2,288.41 satu tan metrik.

Pakar Kanan Produk Derivatif Phillip Futures Sdn Bhd, David Ng, berkata di bawah struktur duti eskport MSM, cukai eskport itu adalah 4.5 peratus berikutan harga warta MSM adalah lebih tinggi daripada paras RM2,250 satu tan metrik.

"Langkah ini pastinya memberi kesan terhadap eksport minyak sawit kita kerana pengimport akan beralih ke Indonesia yang menawarkan duti eskport sifar sejak tahun lepas.

"Namun saya tidak dapat mengulasnya lebih lanjut kerana ia adalah keputusan kerajaan untuk mengenakan eksport cukai MSM berkenaan," katanya.

Regim percukaian duti eksport MSM baharu yang diperkenalkan pada Januari 2013 tidak berubah sejak 1970.

Bagaimanapun, kerajaan memutuskan untuk menggantung cukai duti eksport MSM yang pada awalnya daripada September kepada Oktober tahun lepas, disusuli tempoh lanjutan pada November tahun sama sehingga akhir Februari 2015.

Langkah itu bagi membantu mengurangkan peningkatan stok minyak sawit selain membantu peladang menangani masalah kelemahan eksport berikutan penurunan harga MSM.

Sementara itu, MPOB berkata eksport minyak sawit Malaysia susut 18.44 peratus kepada 971,640 tan metrik pada Februari yang disebabkan kelemahan permintaan daripada kalangan pengimport utama seperti China, Pakistan, Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat.

Stok minyak sawit juga, kata MPOB, turut turun sebanyak 1.53 peratus kepada 1.74 juta tan pada Februari daripada 1.77 juta tan yang dicatatkan pada Januari lepas.

- BERNAMA

Berita Harian X