Selasa, 2 September 2014 | 9:13pm

EPL: Kelab kerdil sama ghairah beli pemain

LONDON: Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), termasuk barisan kerdil turut ghairah membeli pemain pada jendela perpindahan, musim ini ketika beranggapan mereka juga mampu mencabar dan ada yang mahu kekal dalam liga elit.

Southampton mengikat pemain pertahanan Belgium, Toby Alderweireld dari Atletico Madrid atas pinjaman dan juga membayar sekitar STG10 juta (RM50 juta) membawa masuk pemain sayap Senegal, Sadio Mane dari kelab Red Bull Salzburg.

"Saya gembira berjaya membawa Toby ke kelab ini," kata pengurus pasukan Southampton, Ronald Koeman.

"Dia pemain pertahanan yang kuat dan juga bagus dalam menjana serangan balas."

Pada hari pembelian yang sibuk, Hull City membayar rekod kelab sekitar STG9.5 juta (RM47.5 juta) membeli penyerang Uruguay, Abel Hernandez dari Palermo, menandatangani Mohamed Diame dari West Ham United dan melengkapkan perpindahan secara pinjaman untuk perancang Southampton, Gaston Ramirez. Mereka juga berjaya mendapatkan pemain sayap Newcastle United, Hatem Ben Arfa.

Tottenham Hotspur menandatangani pemain tengah Perancis bawah 21 tahun, Benjamin Stambouli dari Montpellier sekitar STG4.7 juta (RM23.5 juta) selepas menjual Sandro kepada Queens Park Rangers dengan nilai sekitar STG10 juta (RM50 juta) serta meminjamkan Lewis Holtby kepada Hamburg.

Pemain tengah Brazil, Sandro berpindah ke Loftus Road untuk kembali ke pangkuan bekas pengurus Spurs, Harry Redknapp yang juga membawa masuk Niko Kranjcar atas pinjaman. Tapi dia gagal menambat Lassana Diarra.

Crystal Palace juga mencatat rekod baru membeli pemain tengah Scotland, James McArthur dari Wigan Athletic dan juga menandatangani pemain pertahanan, Zeki Fryers dari Spurs dan penyerang, Kevin Doyle, pinjaman dari Wolverhampton Wanderers.

Sementara itu, Sunderland melengkapkan perpindahan secara pinjaman untuk pemain bek tengah Liverpool, Sebastian Coates dan pemain tengah Inter Milan, Ricardo Alvarez. - Agensi

Berita Harian X