Isnin, 16 March 2015 | 2:34am
KAPTEN dan penyerang Manchester United, Wayne Rooney (dua kiri) mengawal bola mengatasi dua pemain Tottenham, Nabil Bentaleb (kiri) dan Emmanuel Adebayor ketika perlawanan di Old Trafford, awal pagi tadi. - Foto AFP

Rooney pimpin Man United benam Tottenham 3-0

MANCHESTER: Wayne Rooney menyumbat masuk gol solo yang cantik ketika Manchester United kembali menunjukkan belang lama untuk menewaskan Tottenham Hotspur 3-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris, awal pagi ini.

Kemenangan di Old Trafford itu menyaksikan anak didik Louis Van Gaal membuka jurang enam mata antara mereka dan lawan untuk menghangatkan buruan tiket ke Liga Juara-Juara.

Dalam perlawanan lain, Everton meneruskan rentetan kemenangan dengan menewaskan Newcastle United 3-0 di Goodison Park.

Satu lagi perlawanan awal menyaksikan Chelsea hanya mampu seri 1-1 ketika menentang Southampton di Stamford Bridge.

Terdahulu, gol daripada Marouane Fellaini dan Michael Carrick meletakkan United selesa di hadapan dengan 2-0 dalam tempoh 19 minit pertama untuk pasukan tuan rumah menjelmakan aksi terbaik mereka musim ini.

Kemudian giliran Rooney pula menambah gol ketiga selepas menggelecek benteng Spurs yang nampak lembik sebelum menolak masuk.

Dia kemudian menyambut jaringannya pada minit ke-34 dengan melepaskan beberapa tumbukan angin ala tinju sebelum rebah ke belakang atas padang.

Rooney berbuat demikian sebagai merujuk kepada rakaman video disiarkan oleh akhbar British, Ahad yang menunjukkan dia terjatuh selepas ditumbuk bekas rakan sepasukan United, Phil Bardsley ketika bertarung memakai sarung tinju di dapur rumah Rooney.

Kemenangan ini menyaksikan United kekal di tempat keempat, satu mata di belakang Arsenal dan dua di belakang pasukan tetangga, Manchester City. - AFP

Berita Harian X