Sabtu, 14 March 2015 | 6:02pm

Sukan SEA: Skuad ski air yakin sumbang 8 pingat

KUALA LUMPUR: Pasukan ski air negara yakin dapat menyumbang lapan pingat kepada kontinjen Malaysia pada Sukan SEA 2015 di Singapura, Jun ini, menurut Persekutuan Ski Air dan Papan Luncur Malaysia (MWWF).

Ketua jurulatih negara, Hanifah Yoong berkata MWWF menyasarkan lapan pingat namun sasaran emas mungkin lebih rendah selepas persaraan pemenang emas berganda, Phillipa Yoong, pada Sukan SEA 2011 di Indonesia.

"Kita sasar dua emas, dua perak dan empat gangsa di Singapura," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata skuad negara pada temasya Sukan SEA di Singapura, tahun ini terdiri daripada barisan atlet muda dalam lingkungan umur 16 tahun yang sedang dipersiapkan untuk Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

"Sasaran skuad muda ini adalah untuk meraih enam daripada lapan pingat emas yang akan dipertandingkan di Kuala Lumpur nanti," katanya.

Mengulas sasaran pingat di Singapura, Hanifah berkata anak perempuan, Aaliyah, 12, dijangka merangkul emas berganda dalam acara tricks wanita dan acara keseluruhan.


AKSI emas Aaliyah pada Sukan SEA 2011.

Pada Sukan SEA 2011, Aaliyah, ketika itu berusia lapan tahun, mencipta kejutan apabila muncul sebagai atlet paling muda meraih emas dalam temasya dwitahunan itu.

Beliau merangkul emas selepas mengalahkan peserta Thailand, Sareeya Promsuntisit dan rakan sepasukan Phillipa Clare dalam acara tricks.

Selain Aaliyah, atlet lain yang mempunyai potensi menyumbang pingat di Singapura ialah bekas pemandu F1, Alex Yoong dalam acara keseluruhan, slalom dan tricks (pingat perak), Arianna Chow Sze Ai (gangsa) dalam acara tricks dan jump wanita dan Aiden Yoong (gangsa) dalam tricks lelaki.

Sebelum menghadapi Sukan SEA Singapura dari 5 hingga 16 Jun ini, skuad negara itu akan mengambil bahagian dalam Kejohanan Ski Air dan Papan Luncur Antarabangsa (IWWF) di Langkawi dari 1 hingga 3 Mei ini.

Selepas Sukan SEA, skuad negara juga dijadual bersaing pada Kejohanan Piala Dunia Ski Air IWWF di Putrajaya dari 27 hingga 31 Oktober ini. - BERNAMA

13 dibaca
Berita Harian X