Sabtu, 14 March 2015 | 10:11am

Ujian getir 5 pasukan digamit tiket Eropah


PEMAIN Manchester United, Angel Di Maria bersaing dengan pemain Arsenal pada aksi Piala FA di Old Trafford, minggu lalu. - Foto AP

LIMA pasukan - Arsenal, Manchester United, Liverpool, Tottenham dan Southampton mempunyai baki 10 perlawanan dalam perebutan untuk layak ke Liga Juara-juara, musim depan.

Minggu ini kita beralih fokus ke Old Trafford.

Satu statistik yang memberangsangkan - walaupun banyak dikritik - adalah pertahanan Man United yang hanya bolos 10 gol di kubu sendiri.

Ia adalah rekod kedua terbaik selepas Chelsea. Walau bagaimanapun secara realistik Man United terutama bahagian pertahanan yang berada dalam situasi jauh lebih sukar daripada yang dikatakan oleh statistik.

Malam Ahad melihat kunjungan Tottenham Hotspur ke Old Trafford dalam saingan untuk mendapatkan tiket ke Liga Juara-juara musim depan yang dilihat lebih menarik daripada saingan liga takhta yang boleh dikatakan hampir milik Chelsea.

Hanya tiga mata membezakan Spurs dari Man United dan itu sudah membuktikan betapa pentingnya perlawanan ini bagi kedua-dua pasukan.

Louis Van Gaal sedang menghadapi tekanan yang lebih banyak selepas kekalahan kepada Arsenal di Old Trafford minggu lalu dan kekalahan ini memberi LVG tiada peluang lain selain layak ke liga Juara-juara.

Apakah masalah paling ketara Man United musim ini? Saya berpendapat ia menjurus kepada aspek taktikal yang masih berada pada 'peringkat bayi' walaupun sudah melalui 28 perlawanan.


PENGURUS Manchester United, Louis van Gaal (kanan) bersama pembantunya, Ryan Giggs. - Foto Reuters

Kebanyakan pemain Man United seperti Robin Van Persie, Chris Smalling, Phil Jones, Luke Shaw, Angel Di Maria, Johnny Evans dan beberapa yang lain sedang bermain jauh daripada tahap yang diharapkan.

Ini tidak membantu LVG dan proses transisi selepas era Alex Ferguson. Daripada sudut LVG sebagai seorang pengurus beliau sedang gagal mendapatkan terbaik daripada pemain serta gagal menerapkan falsafah beliau yang masih menjadi tanda persoalan ramai.

Namun, sudut positif bagi Van Gaal adalah beliau masih mencuri mata penuh dalam perlawanan yang David Moyes gagal meraih mata.

Man United mempunyai lima perlawanan besar dalam baki 10 perlawanan dan jika LVG hendak memenangi kepercayaan penyokong Red Devils semula saya percaya beliau perlu memastikan satu prestasi yang berbeza Ahad ini menentang Spurs.

Mauricio Pochettino sedang mengalami satu musim yang sangat baik dari sudut pandangan saya walaupun dia gagal menentang Chelsea dalam final Piala Liga.

Ini adalah musim pertamanya di White Hart Lane dan dia sudah berjaya menerapkan falsafah beliau yang dilihat semasa beliau bersama Southampton.

Harry Kane adalah senjata utama Pochettino dan saya menjangkakan satu malam yang sukar bagi pertahanan Man United kerana karakter Kane yang liat, agresif. Tambahan, dia juga mempunyai skil teknikal yang tinggi.

Perlawanan yang amat sukar diramal kerana kepentingan perlawanan ini. Tetapi saya melihat sedikit keberatan terhadap keputusan seri.


PENYERANG Tottenham Hotspur, Harry Kane (kanan) ketika berdepan dengan penjaga gol Queens Park Rangers, Robert Green pada saingan Liga Perdana Inggeris di Stadium Loftus Road, London, minggu lalu. - Foto AFP

RAMALAN STANLEY MINGGU INI

Crystal Palace.....................1 QPR ................................1

Sunderland..........................2 Aston Villa..................... 2

West Brom...........................2 Stoke City ........................2

Leicester City........................1 Hull City..........................2

Arsenal................................2 West Ham ......................1

Burnley FC...........................1 Man City .........................3

Chelsea................................1 Southampton..................1

Man United......................... 3 Tottenham....................... 3

Everton.............................. 2 Newcastle........................ 1

Swansea City.....................1 Liverpool .......................... 2

(Nota: Penulis tamu BH Online adalah bekas pemain kebangsaan, termasuk beraksi dalam dua perlawanan menentang Manchester United. Selain beraksi untuk Kuala Lumpur dalam Liga Malaysia, Stanley juga beraksi dalam liga di India dan Indonesia. Ketika ini dia adalah pengulas bola sepak di stesen televisyen ASTRO Supersports dan Arena)

Berita Harian X