Jumaat, 13 March 2015 | 4:32pm

Bomba sasar guna waktu kerja 12 jam

WAN Mohd (duduk, enam dari kanan) bergambar bersama para penerima anugerah selepas majlis penyampaian anugerah perkhidmatan cemerlang, sijil perkhidmatan 30 tahun dan sijil persaraan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Melaka di Swiss Garden Hotel and Residences Melaka. - Foto Rasul Azli Samad

MELAKA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyasarkan penggunaan sistem waktu bertugas 12 jam dapat dilaksanakan sepenuhnya bermula tahun depan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim, berkata setakat ini sistem terbabit sudah dinaiktaraf di 40 balai bomba di seluruh negara dan baki 39 balai lagi masih menggunakan sistem kerja 24 jam.

Beliau berkata, pelaksanaan sistem itu dapat membantu anggota dan pegawai bomba menjalankan tugas dengan lebih berkesan apabila beban tugas mereka dikurangkan dari syif 24 jam kepada 12 jam.

"Setiap balai bomba menerima panggilan kecemasan sekitar 300 hingga 400 panggilan sehari dan satu balai pula menerima dua atau tiga panggilan sehari. Ada juga (balai) menerima lebih banyak panggilan.

"Jadi beban kerja anggota bomba ini sangat tinggi dan meletihkan jika mereka terpaksa bekerja selama tempoh 24 jam," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian Anugerah Pekerja Cemerlang, Sijil Perkhidmatan 30 Tahun dan Sijil Persaraan kepada 51 anggota di Hotel Swiss Garden and Residence, Jalan Hang Tuah, di sini, sebentar tadi.

Berita Harian X