Khamis, 12 March 2015 | 7:04pm

Penjenayah paling dikehendaki mati ditembak di Laguna Merbok

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki berusia 27 tahun dipercayai anggota kongsi gelap maut ditembak selepas berbalas tembakan dengan polis di Lencongan Barat, Bandar Laguna Merbok di sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, ACP Mohd Nashir Ya, berkata dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, K Sujenthiran, dipercayai anggota kumpulan kongsi gelap 35, bertindak melepaskan tembakan sejurus sepasukan polis cuba menghampiri kenderaan suspek.

Beliau berkata, ia berlaku ketika sepasukan polis dari Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang yang melakukan rondaan terserempak dengan Proton Wira Aeroback hitam yang dipandu lelaki terbabit dalam keadaan mencurigakan.

"Ketika itu anggota polis keluar dari kenderaan dan memberi amaran kepada suspek. Selepas itu terdengar beberapa das tembakan dari dalam kenderaan suspek sebelum berlakunya tembakan balas oleh polis," katanya ketika ditemui di tempat kejadian malam ini.

Beliau berkata, suspek itu yang berasal dari Taman Bandar Baharu, Sungai Lalang, Bedong di sini, menggunakan pistol semi auto buatan Republic Czech iaitu Luger dengan kaliber 9mm.

Mohd Nashir berkata, lelaki itu adalah suspek utama yang dikehendaki berhubung penemuan mayat dengan kesan tembakan di kepala di Ladang Kelapa Sawit, Sidam Kiri di sini pada 16 September tahun lalu.

Beliau berkata, polis juga mengesyaki suspek yang tidak bekerja dan terbabit dalam pengedaran dadah turut terlibat dalam satu lagi kes bunuh di Kota Setar serta kes membakar motosikal.

- BERNAMA

51 dibaca
Berita Harian X