Khamis, 12 March 2015 | 1:06pm
IMPORT kasar diunjurkan meningkat pada kadar lebih pantas. - Foto hiasan

Pengeluaran industri naik 7 peratus pada Januari

KUALA LUMPUR: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia meningkat 7.0 peratus pada Januari 2015 berbanding bulan sama tahun lalu.

"Peningkatan berkenaan disumbangkan oleh pertumbuhan positif dalam semua indeks iaitu pembuatan (6.5 peratus), perlombongan (8.3 peratus) dan elektrik (6.3 peratus)," demikian menurut Jabatan Perangkaan dalam kenyataan hari ini.

Dalam terma pelarasan musim, IPP pada Januari 2015 susut 1.0 peratus, bagi asas perbandingan bulan sebelumnya berikutan penurunan dalam indeks pembuatan (1.2 peratus) dan perlombongan (0.4 peratus).

Mengikut jabatan itu, output pembuatan terus meningkat sebanyak 6.5 peratus pada Januari 2015 yang disumbangkan oleh barangan elektrik dan elektronik (10.3 peratus); produk petroleum, kimia, produk getah dan plastik (5.3 peratus); dan barangan logam asas dan produk logam direka (11.6 peratus).

Keluaran perlombongan mencatat peningkatan sebanyak 8.3 peratus berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya manakala output elektrik meningkat 6.3 peratus pada Januari berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, jabatan itu berkata nilai jualan sektor pembuatan pada Januari 2015 naik 2.7 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya kepada RM57.1 bilion, yang disumbangkan oleh 68 daripada 138 industri yang ditinjau.

Jabatan itu berkata jumlah pekerja yang terbabit dalam sektor pembuatan bagi bulan berkenaan ialah 1.03 juta orang, meningkat 0.5 peratus berbanding 1.02 juta orang pada Januari 2014.

Gaji dan upah yang dibayar pada Januari 2015 meningkat 4.4 peratus berbanding tempoh sama athun sebelumnya kepada RM2.98 bilion. - BERNAMA

Berita Harian X