Khamis, 12 March 2015 | 8:18am

3 maut rusuhan penjara di Honduras


BANDUAN dipindahkan menggunakan helikopter ke penjara lain berikutan rusuhan penjara di penjara San Pedro Sula. - Foto AFP

TEGUCIGALPA: Tiga banduan terbunuh termasuk seorang ditembak ketika rusuhan penjara di Honduras dan menyebabkan tujuh banduan lain serta lapan pengawal mengalami kecederaan, kata pihak berkuasa.

Jurucakap Polis Kebangsaan negara itu berkata, 400 pegawai dan anggota tentera yang dikerah ke Penjara San Pedro Sula berdepan tembakan senjata api yang dilepaskan dalam kawasan penjara dan mereka dibaling batu serta objek lain.


BANDUAN yang cedera dibawa keluar dari penjara itu oleh pasukan kecemasan selepas menyertai rusuhan dan bertembung dengan polis. - Foto AFP

Selepas keadaan berjaya dikawal, polis berkata, mereka merampas raifal, pistol automatik dan senjata lain dari dalam penjara berkenaan.

Banduan yang cedera dibawa keluar dari penjara itu oleh pasukan kecemasan selepas menyertai rusuhan dan bertembung dengan polis.

Penjara San Pedro Sula terletak kira-kira 240 kilometer di utara bandar raya Tegucigalpa dan hanya boleh menampung 1,300 banduan tetapi sebaliknya dihuni 2,900 orang.

Pegawai berkata, salah seorang banduan mati akibat tembakan di kepala tetapi tidak diketahui punca kematian dua orang banduan lain. - AFP

26 dibaca
Berita Harian X