Rabu, 11 March 2015 | 5:50pm

Mayat kanak-kanak 8 tahun lemas ditemui


ANGGOTA bomba mengusung mayat mangsa lemas, Ningkan Bundak selepas dijumpai terapung di hulu Sungai Awik, Saratok. - Foto ihsan bomba

KUCHING: Mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun, Augustine Ningkan Bundak yang hilang sejak Isnin lepas, ditemui kira-kira pukul 7.25 pagi tadi di hulu Sungai Awik, Saratok.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Saratok Mohamad Darul Azreen ketika dihubungi Bernama di sini hari ini berkata mayat mangsa yang masih berpakaian lengkap berbaju-T dan berseluar sukan ditemui oleh sepasukan bomba dan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Saratok dengan bantuan penduduk kampung berdekatan.

Katanya, mayat ditemui terapung di permukaan air oleh pasukan mencari dan menyelamat kira-kira 500 meter dari tempat dia dilaporkan terjatuh kelmarin.

Dalam kejadian pada Isnin lepas mangsa yang berasal dari Rumah Pana Nanga Malong, Sungai Nanga Malong Awik, Saratok dilaporkan terjatuh ke dalam Sungai Awik pada kira-kira pukul 6 petang.

Mohamad berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Saratok untuk bedah siasat. - BERNAMA

Berita Harian X