Rabu, 11 March 2015 | 1:49pm

Diana Amir belum pilih nama anak


DIANA selamat melahirkan cahaya mata kira-kira jam 5.45 pagi pada Ahad lalu.

KUALA LUMPUR: Pelakon Diana Amir atau nama sebenarnya Nurdiyana Amir Hashim belum pilih nama untuk anak perempuan sulungnya kerana sedang dalam pantang dan menyesuaikan diri sebagai seorang ibu.

Diana selamat melahirkan cahaya mata kira-kira jam 5.45 pagi pada Ahad lalu. Diana berkongsi perkhabaran mengenai kelahiran anak sulungnya itu menerusi akaun Instagram.

Bagaimanapun, Diana belum sedia berkongsi gambar kerana puterinya itu baru berusia beberapa hari dan senang terdedah kepada penyakit. Mengikut Diana, dia tahu mengenai apa yang dipanggil penyakit 'Ain' yang disebarkan melalui mata.

"Saya sebenarnya tidak keberatan jika ada yang datang melawat dan bergambar dengan bayi saya. Namun saya rasa belum masanya lagi untuk memuat naik gambar di laman sosial kerana bayi masih kecil dan 'fragile'.

"Ada satu penyakit iaitu penyakit Ain yang disebarkan melalui mata. Jika memuat naik gambar kita tidak tahu siapa yang akan melihat gambar itu dan individu yang melihat itu juga tidak tahu bahawa mereka memberi penyakit kepada bayi," katanya dihubungi hari ini.

Diana dan suami juga belum menetapkan lagi nama bayi itu kerana masih berbincang nama yang sesuai, tambahan pula ustaz juga turut mencadangkan beberapa nama untuk mereka pilih.

Mengakui masih kelam kabut dan belum lagi menyesuaikan diri sepenuhnya menguruskan anak kecil, Diana bagaimanapun mengakui bersyukur kerana dibantu suami, ibu dan ibu mentua.

"Saya masih tidak tahu punca anak saya menangis dan saya juga tidak tahu cara-cara yang betul untuk menyusukan bayi. Alhamdulillah suami saya turut membantu jika bayi menangis tengah malam.

"Buat masa ini ibu saya dan ibu mentua datang membantu ketika saya dalam pantang, tetapi dua minggu lagi kami akan pulang berpantang di sana pula," katanya.

Diana dan suaminya, Mohd Habibbullah A Rahman bernikah pada Oktober 2013.

122 dibaca
Berita Harian X