Rabu, 11 March 2015 | 7:49am

Negara Islam tegak keadilan, tolak ekstremisme

'Daulah Islamiah', 'Negara Islam' atau dalam istilah lebih popular ketika ini, 'Islamic State' (IS) menjadi satu istilah menarik, bukan sahaja bagi umat Islam, tetapi bagi masyarakat dunia semasa. Bagi umat Islam, Daulah Islamiah yang memegang prinsip Islam ialah lambang kekuasaan Islam.

Usaha membentuk negara Islam berkembang selepas tamat Perang Dunia Kedua apabila banyak negara Islam bebas daripada penjajahan. Penubuhan Republik Islam Pakistan dan gerakan pemikiran seperti al-Maududi adalah contoh klasik usaha membentuk negara Islam.

Revolusi Iran 80-an sehingga 90-an juga menjadi rujukan gerakan penubuhan negara Islam. Gerakan-gerakan ini digelar sebagai proses 'Islamist' - gerakan yang merangkumi ideologi atau pegangan untuk menjadikan Islam sebagai penunjuk dalam soal sosial, politik serta kehidupan peribadi.

Pada awal abad 21, Barat mempopularkan Islamofobia - difahamkan sebagai ketakutan, kebencian atau permusuhan diarahkan terhadap Islam dan umat Islam. Kesan dan stigma ke atas dunia Islam dan umat Islam minoriti serata dunia begitu mendalam, terutama selepas peristiwa 9/11.

Selepas Islamofobia, Islam digambarkan pula dengan sebegitu rupa dengan gelaran IS, iaitu gerakan paras militan dan juga berwajah pengganas. IS ini adalah 'tragedi' kepada agama Islam, umat dan dunia Islam.

Ejen kebencian

IS ialah militan dan juga pengganas yang menggunakan nama Islam. Ia adalah proses fitnah yang bertujuan 'membusukkan' Islam. IS menggunakan istilah 'Islamic' bagi menunjukkan tuntutan agama itu dan menarik umat Islam. Namun, segala pengisiannya ialah keganasan.

Perbuatan kejam dan melanggar undang-undang membuktikan sifat jenayah kerana perbuatan itu bercanggah dengan prinsip dan nilai agama Islam khususnya dan kemanusiaan umumnya. Ia terang-terang menjadi satu operasi atau proses memfitnah Islam dan menghasut permusuhan seluruh dunia kepada Islam.

IS ini ialah antara tindakan atau proses yang bertujuan mendatangkan kebencian kepada Islam walaupun Barat menyatakan tiada persengketaan dengan Islam, tetapi dengan kumpulan terbabit sahaja. IS juga mungkin mahu dibuktikan sebagai sebahagian daripada kesan 'pasca-Islamisme'. Dalam konteks ini, istilah 'pasca-Islamisme' merujuk kepada definisi yang diberikan beberapa pemerhati Barat, iaitu proses menginstitusikan Islam dalam bentuk sebuah negara dan IS digambarkan dengan militan dan keganasan. Apa yang mahu disuarakan Barat ialah, 'inilah dia negara Islam'.

Dengan istilah 'Islamic' itu, gerakan ini berjaya menjadi tarikan kepada umat Islam, yang sedang mencari-cari ruang melakukan kebajikan atas tuntutan agama, termasuk warganegara kita. Walaupun sebenarnya tiada yang 'Islamic' dengan IS, ia tetap juga menjadi pilihan kerana sikap fanatik atau sikap berlebihan segelintir umat Islam. Sikap fanatik dan tidak bijak umat Islam dalam menilai label Islam itu menjadikan fitnah terhadap Islam itu 'menjadi' dan 'laris' dibeli segelintir umat Islam.

Fahami konsep sebenar jihad

Umat Islam sendiri perlu sedar bahawa Islam tidak pernah membawa ajaran keganasan, Islam tidak juga menggalakkan keganasan. Sekiranya mahu menggunakan konsep jihad, terutama jihad di medan perang itu hendaklah difahami dengan mendalam maksud yang disaran oleh Islam dan bukan dengan tekad ekstremisme. Jihad adalah tindakan beretika, mentaati prinsip menjaga manusia dan kemanusiaan, alam sekitar serta menghormati setiap anugerah dan makhluk serta kejadian Allah. Ia mengandungi prinsip yang amat ketat.

Oleh itu, pemahaman umat Islam mengenai keluhuran Islam dan agenda Barat amatlah penting bagi mencari identiti Islam atau negara Islam yang sebenar. Sebelum berjihad untuk IS, umat Islam perlulah juga faham mengenai gerak kerja musuh Islam. Tidak kurang pentingnya memahami sepenuhnya ciri utama negara Islam.

Umat Islam jangan mudah terpesona atau teruja dengan label 'Islamic' itu. Label itu tidak semestinya mengandungi 'substance' atau isi sebenar Islam, dalam konteks ini, isi sebenar sebuah negara Islam. Mungkin boleh dikatakan bahawa istilah tidaklah begitu mendesak bagi melabel sesebuah negara, tetapi lebih penting ialah pengisian atau dalamannya.

Negara itu hendaklah berteraskan Islam yang benar serta mengamalkan konsep utama dalam Islam seperti keadilan, kesaksamaan dan mempunyai peraturan perundangan, ekonomi, sosial dan politik yang menepati prinsip keadilan dan kesaksamaan sebagai perintah Islam bukan ekstremisme.

Penulis ialah Felo Utama Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Berita Harian X