Selasa, 10 March 2015 | 7:53pm
GANDINGAN dua pemain elit negara, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan Sin Li Jane berjaya menghadiahkan pingat emas pertama buat skuad boling Perak. - Foto Osman Adnan

Boling: Gandingan Li Jane-Syaidatul hadiahkan emas pertama Perak

PETALING JAYA: Gandingan dua pemain elit negara, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan Sin Li Jane berjaya menghadiahkan pingat emas pertama buat skuad boling Perak pada Kejohanan Boling Antara Negeri ke-28 di sini, hari ini.

Kedua-dua mereka mengumpul 2,821 jatuhan pin dengan kelebihan 237 pin, untuk selesa mengatasi pencabar terdekat, Sharon Koh dan Hee Kar Yen dari Kuala Lumpur yang melakukan 2,584 jatuhan pin.

Gangsa milik pemain senior Shalin Zulkifli dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dari Selangor yang mengumpul 2,507 jatuhan pin.

"Kami bermain tanpa tekanan dengan mempamerkan rutin biasa. Saya dan Li Jane hanya fokus kepada permainan dan cuba mendapatkan lorongan bola yang terbaik.

"Momentum kejayaan di Bangkok bulan lalu sedikit sebanyak mempengaruhi corak permainan saya walaupun ini adalah kejohanan berbeza...syukur kedua-dua kami meraih lebih 200 mata untuk setiap permainan," kata Syaidatul Afifah.

Kedua-dua mereka adalah penyumbang emas tunggal Malaysia pada Kejohanan Tenpin Boling Asia ABF di Bangkok Januari lalu dalam acara beregu wanita.

Berdasarkan prestasi terbaik yang dipamerkan hari ini membolehkan Syaidatul Afifah dan Li Jane memperbaiki kedudukan dalam kategori keseluruhan.

Selepas dua acara dipertandingkan, Syaidatul Afifah dan Li Jane masing-masing di tempat kedua dan ketiga dengan mengumpul 2,684 dan 2,660 jatuhan pin.

Sharon terus berada di kedudukan teratas dengan 2,741 jatuhan pin.

Sementara itu, skuad Kuala Lumpur menambah dua emas, dua perak dan dua gangsa, menjadikan keseluruhan kutipan tiga emas, tiga perak dan tiga gangsa untuk mengekori rapat juara bertahan Selangor.

Selangor masih mendahului setakat ini dengan meraih tiga emas, empat perak dan satu gangsa.

Skuad Kuala Lumpur menambah emas melalui Muhd Syafiq Ridhwan Abdul Malek dan Muhd Rafiq Ismail serta Nora Lyana Nastasia dan Nur Syazwani Sahar, masing-masing dalam acara beregu lelaki dan beregu remaja perempuan.

Semua pemain akan meneruskan cabaran dalam acara berpasukan pada hari terakhir kejohanan berkenaan, esok. - BERNAMA

Berita Harian X