Selasa, 10 March 2015 | 9:52am
CALON-CALON yang akan bertanding pada PRK DUN N.06 Chempaka. Dari kanan; Izat Bukhari Ismail 47, Sharif Mahmood 59, Tengku Fadzillah Husin 55, Ahmad Fathan Mahmood 42 dan Aslah Mamat 64 ketika mendengar taklimat dari Pegawai SPR di Dewan Bintara Maktab Rendah Sains Mara ( MRSM ) Pengkalan Chepa. - Foto Fathil Asri

Proses penamaan calon PRK DUN Chempaka dibuka


YANG Dipertua Pertubuhan Keturunan, Paduka Raja Che Siti Wan Kembang Malaysia (tengah), Fadzillah Hussin, 55 diiringi penyokongnya bertanding buat kali pertama sebagai calon Bebas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) N.06 Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka di Kota Bharu, hari ini. - Foto Nor Amalina Alias

PENGKALAN CHEPA: Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka dibuka 9 pagi ini di Dewan Bitara Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di sini.

Proses dijadual berlangsung selama sejam sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya Ibrahim Bakri Mat Deris mengumumkan nama calon yang bertanding dalam PRK itu dijadualkan 22 Mac sekiranya ada pertandingan.

Pilihan raya itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, 84, akibat kanser prostat pada 12 Februari lepas.

Pada pilihan raya umum ke-13, Nik Abdul Aziz yang juga bekas Menteri Besar Kelantan mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Wan Razman Wan Abdul Razak dengan majoriti 6,500 undi. Nik Abdul Aziz memperoleh 12,310 undi manakala Wan Razman mendapat 5,810 undi.

DUN Chempaka mempunyai 21,890 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 20,390 pemilih biasa; 1,497 pemilih awal dan tiga orang pengundi tidak hadir luar negara.

BN memutuskan tidak bertanding pada PRK itu bagi memberi tumpuan kepada kerja-kerja pemulihan pasca banjir setelah Kelantan dilanda banjir luar biasa pada Disember tahun lepas. - - BERNAMA

Berita Harian X