Isnin, 9 March 2015 | 12:05am

RM400j Dana Mudahcara untuk diagih

PETALING JAYA: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) sudah meluluskan RM931.3 juta Dana Mudahcara kepada 212 syarikat Bumiputera yang layak menerima bantuan kewangan itu setakat Januari 2015.

Daripada jumlah yang diluluskan itu, sebanyak RM64.3 juta sudah disalurkan kepada 23 syarikat yang layak setakat tahun lalu.

Pengarah Kanan Pembangunan Perniagaan dan Usahawan TERAJU, Megat Mohd Yatim Megat Hamid, berkata proses pengagihan dana itu mengambil sedikit masa kerana ia bergantung kepada siapnya projek serta memenuhi syarat yang ditetapkan.

Dana Mudahcara itu diberikan dalam bentuk geran yang mana ia diagihkan ketika projek siap 50 peratus dan 100 peratus bagi projek infrastruktur dan 100 peratus bagi peralatan.


PENGARAH Kanan Pembangunan Perniagaan dan Usahawan TERAJU, Megat Mohd Yatim Megat Hamid. - Foto Ikhwan Nasri

"Pengagihan dana dibuat apabila projek yang dilaksanakan siap seperti syarat yang ditetapkan. Dana ini bukan diagihkan sebaik saja syarikat mendapat surat penganugerahan (LOA)," katanya kepada BH dalam satu pertemuan di sini baru-baru ini.

Megat Mohd Yatim berkata, bagi tahun ini, dijangka antara RM300 juta hingga RM400 juta Dana Mudahcara akan diluluskan.

Dari segi pengagihan dana pula, beliau berkata, dijangka antara RM100 juta hingga RM150 juta dana akan diagihkan kepada syarikat yang layak memandangkan banyak projek yang dilaksanakan akan siap tahun ini.

Mengulas mengenai proses permohonan, Megat Mohd Yatim berkata, TERAJU akan meneliti secara terperinci setiap permohonan bagi memastikan permohonan yang diterima memenuhi syarat ditetapkan.


PENGARAH Kanan Pembangunan Perniagaan dan Usahawan TERAJU, Megat Mohd Yatim Megat Hamid. - Foto Ikhwan Nasri

Pemohon perlu menyediakan maklumat lengkap berserta dokumen sokongan yang diperlukan bagi memastikan permohonan mereka tidak ditolak.

"Terdapat beberapa syarat yang perlu dipatuhi pemohon. Dana ini disediakan untuk menyokong syarikat Bumiputera yang mempunyai projek berimpak tinggi.

"Proses pemilihan syarikat yang layak dijalankan secara teliti dan terperinci kerana kami tidak mahu projek dijalankan tergendala dan tidak menjana sumbangan kepada ekonomi negara," katanya.

Megat Mohd Yatim menegaskan, TERAJU tidak sewenang-wenangnya meluluskan permohonan kerana pihaknya perlu meneliti dan menyemak sama ada syarikat itu mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan mampu menjamin pembiayaan komersial untuk melaksanakan projek.

Malah, katanya, syarikat yang memohon perlu mempunyai kemampuan, kapasiti, kemahiran dan pengalaman yang diperlukan bagi projek dijalankan.

Dana Mudahcara yang diperkenalkan pada 2011 diberikan kepada syarikat Bumiputera yang terbabit dalam 13 sektor utama, antaranya sektor minyak, gas dan tenaga; pembangunan hartanah dan pembinaan; pemborongan; peruncitan; pendidikan, pelancongan; automotif dan penjagaan kesihatan.

Setiap syarikat yang layak menerima geran hingga 15 peratus daripada jumlah kos keseluruhan projek.

INFO
Proses Permohonan dan Kelulusan Dana Mudahcara
Langkah 1: Permohonan
Tempoh : Maksimum sebulan
Langkah 2: Penilaian dan Kelulusan
Tempoh : Maksimum sebulan
Langkah 3: Pengesahan oleh Exco
Tempoh: Maksimum 2 bulan
Langkah 4: Surat penganugerahan (LOA)
Tempoh 2 minggu
Langkah 5: Agihan Dana
Tempoh bergantung kepada syarikat yang memenuhi syarat yang ditetapkan

Berita Harian X