Ahad, 8 March 2015 | 9:35pm

Slot Liga Juara-Juara keutamaan United - Van Gaal

PENGURUS Manchester United, Louis Van Gaal. - Foto Reuters

LONDON: Saingan Piala FA mampu menawarkan trofi kejuaraan untuk musim sulungnya bersama Manchester United, namun Louis van Gaal tetap menganggap layak ke Liga Juara-Juara musim depan sebagai keutamaannya.

United gagal memenangi kejohanan tertua itu sejak 2004 dan menanti kunjungan Arsenal pada aksi suku akhir di Old Trafford, awal pagi Selasa ini mampu mendekatkan peluang mereka untuk menjulang Piala FA buat kali ke-12.

Namun fokus Van Gaal lebih menjurus untuk memulihkan reputasi United di pentas Eropah selepas kelab itu gagal beraksi di Liga Juara-Juara musim ini ekoran prestasi buruk pada saingan domestik musim lalu yang menyaksikan mereka sekadar menamatkan saingan di tangga ketujuh Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pengendali dari Belanda yang mengambil alih tugas pengurus United awal musim ini berkata, pasukannya perlu menganggap saingan Piala FA sebagai bonus tetapi fokus utama adalah untuk menamatkan saingan EPL di kedudukan empat teratas untuk mendapat slot ke Liga Juara-Juara.

"Saya sentiasa mahu mencapai sasaran yang sudah kami tetapkan. Jadi sasaran berkenaan ialah untuk menamatkan saingan di kedudukan empat teratas liga," kata Van Gaal.

"Memang meraih kejuaraan sesuatu yang hebat. Apabila kamu menjuarai Piala FA, kamu tidak akan berada di Liga Juara-Juara yang mana ia penting untuk kelab tetapi kamu memenangi trofi berkenaan.

"Jadi bagi pemain, ia sesuatu yang hebat. Tapi bagi pengurus, ia memang hebat tetapi sasaran kami untuk musim pertama kami bersama ini ialah mendapat tempat ke Liga Juara-Juara."

United kini di tangga keempat liga dengan berbaki 10 perlawanan dan mereka ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu, Chelsea dan satu mata di belakang pasukan tangga ketiga, Arsenal. - Reuters

Berita Harian X