Ahad, 8 March 2015 | 7:27pm
TIMBALAN Ketua Pengarah (Perancangan) Pelancongan Malaysia, Chong Yoke Har. - Foto Rohanis Shukri.

Pelancong China semakin ramai ke Malaysia

KUALA LUMPUR: Sektor pelancongan negara terutama membabitkan pelancong China, kembali pulih dengan peningkatan sebanyak 5.9 peratus bermula Oktober 2014 berbanding Oktober 2013 selepas kehilangan pesawat MH370 Penerbangan Malaysia (MAS) tahun lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Pelancongan Malaysia, Chong Yoke Har, berkata sejumlah 118,289 pelancong China berkunjung ke Malaysia pada bulan Oktober lalu berbanding 111,730 pada bulan yang sama tahun 2013.

Pihaknya yakin pengecualian bayaran fi visa pelancong China ke negara ini bermula 15 Februari lalu akan menarik lebih ramai lagi pelancong dari China tahun ini.

"Inisiatif kerajaan yang menawarkan permohonan visa ketibaan (VOA) kepada pelancong China yang memasuki Malaysia dari Singapura di Kompleks Sultan Abu Bakar, Tanjung Kupang, Johor, mulai 1 November lalu turut mampu mencapai sasaran kemasukan seramai 29 juta pelancong China pada tahun ini " katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan 'Make It Malaysia 2015' bersama 148 agensi pelancongan dan media dari China di sini, hari ini.

Chong berkata kunjungan pelancong China ke negara ini selain daripada membeli-belah dan beristirahat di pusat peranginan, juga disebabkan mereka menggemari makanan di Malaysia.

"Oleh kerana masyarakat di Malaysia unik kerana terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, maka pelancong China berpeluang merasai masakan tradisional pelbagai kaum selain dapat merasai masakan Cina daripada masyarakat Cina tempatan.

"Selain itu, mereka turut menggemari pusat peranginan berkonsepkan pantai dan kerap berkunjung ke pulau-pulau yang terdapat di Malaysia termasuk Pulau Pangkor, Pulau Langkawi, Pulau Perhentian dan lain-lain lagi yang terdapat di negeri Sabah," katanya.

Program 'Make It Malaysia 2015' yang disertai 148 agensi pelancongan dan media dari China berlangsung selama enam hari bermula semalam hingga 13 Mac ini, merangkumi sesi interaksi bersama warga Tourism Malaysia serta lawatan ke beberapa tempat pelancongan menarik di ibu negara dan Genting Highlands. - BERNAMA

15 dibaca
Berita Harian X